Mohamed Salah menerima ucapan tahniah daripada bekas pertahanan kebangsaan Mesir, Haytham Farouk selepas didakwa menandatangani kontrak baharu dengan Liverpool.
Masa depan bintang Reds itu di Anfield menjadi perbincangan hangat musim ini pada ketika kontraknya sekarang berakhir penghujung Jun depan.
Salah yang berada di kemuncak prestasi menerusi 13 jaringan dan lapan bantuan gol dalam 14 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi tajuk akhbar minggu lalu selepas mendakwa dia masih belum ditawarkan kontrak baharu dan mengakui kecewa dengan situasi itu.
Laporan baru-baru ini mendakwa pemain berusia 32 tahun itu yang hanya kurang tiga gol untuk muncul pemain keempat paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah Liverpool sedia menandatangani kontrak setahun.
Namun, Farouk yang beraksi dengan Mesir antara 1993 dan 1999 mendakwa pemain sensasi itu sudah pun bersetuju dengan kontrak baharu bersama skuad Arne Slot.
“Tahniah menandatangani kontrak baharu dengan angka yang anda mahu dan tempoh masa dikehendaki.” Farouk yang juga penganalisis popular di beIN Sports menulis di X: “Raja Mesir itu membuat keputusan dengan penilaian sendiri.”
sumber:- HM
Berita itu sekali gus menggembirakan penyokong Reds yang bimbang Salah akan meninggalkan mereka dengan perpindahan percuma pada musim panas walaupun tidak menunjukkan sebarang petanda kemerosotan prestasi.