sukan

Peluang besar buat Aaron-Wooi Yik kali ini

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen optimis anak buahnya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu untuk mengakhiri badi gagal melepasi peringkat kumpulan pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember ini.

Bin Shen berkata selepas gagal berbuat demikian dalam empat penampilan sebelum ini, pasangan nombor lima dunia itu diharapkan mampu menterbalikkan keputusan berkenaan.

Katanya, Aaron-Wooi Yik ketika ini berada di tahap terbaik dengan Wooi Yik sudah kembali cergas selepas pulih daripada kecederaan Ogos lalu dan sudah menyertai tiga kejohanan sejak Masters Korea pada bulan lalu.

“Sasaran untuk mereka nak lebih baik dari tahun lepas, tahun lalu kita kalah di peringkat kumpulan.”Tahun ini kita tahu ada dua beregu terbaik dunia tidak menyertai, peluang besar, tapi tetap bergantung kepada persembahan mereka pada perlawanan.

“Lepas Wooi Yik sembuh daripada cedera, sudah sertai tiga kejohanan, sudah berada dalam keadaan yang baik dan tiada tekanan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Yonex di sini hari ini.

Beregu nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan nombor dua dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae tidak akan beraksi selepas gagal layak ke Jelajah Dunia Akhir tahun ini.

Sebagai rekod, ini akan menjadi penampilan kelima Aaron-Wooi Yik di Kejohanan Jelajah Dunia Akhir selepas edisi 2019, 2020, 2022 dan 2023.

Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia turut mempunyai satu lagi wakil dalam beregu menerusi gandingan profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang turut layak ke kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.13 juta).

sumber:- BH

Juara beregu lelaki akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$210,00 (RM935,333).