sukan

Hamidin akhirnya buka mulut

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin menjelaskan setiap apa yang dilakukan sepanjang memegang jawatan dalam badan induk bola sepak negara itu adalah demi negara.

Hamidin bakal meninggalkan kerusi nombor satu FAM apabila mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya pada kongres pemilihan bagi penggal 2025-2029 yang akan berlangsung 15 Februari depan.

Beliau berkata, segala pembangunan dan pencapaian diraih arena bola sepak negara sepanjang di bawah pimpinan beliau akan menjadi sejarah.

Walaupun beliau tidak lagi memegang tampuk kepimpinan FAM, Hamidin sentiasa menyokong dan mendoakan barisan kepimpinan badan induk bola sepak negara yang bakal diketuai presiden baharu supaya bola sepak Malaysia dapat bergerak lebih maju pada masa akan datang.

“Layak ke Piala Asia selepas 42 tahun, ranking (Harimau Malaya) 178 (naik) sampai 132, bola sepak wanita mula berkembang dan infrastruktur termasuk pusat latihan kebangsaan serta wisma FAM. Itu semua akan menjadi kenangan dan sejarah.

“Namun, apa yang penting kesinambungan pimpinan baharu ini akan bawa untuk FAM.

“Saya perlu ingatkan kepada anda semua, saya tak mustahak. Saya buat ini untuk negara saya, bukan untuk sesiapa. Saya sumbangkan masa dan keringat untuk bola sepak Malaysia.

“Sama juga dengan anda, media, menyumbang, bagi kritikan yang membina, semua itu bagus. Jadi saya fikir ini masa terbaik untuk ahli gabungan memilih presiden yang baharu untuk memimpin FAM,” katanya.

Sebagai rekod, Hamidin dipilih menjadi Presiden FAM pada 2018 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Mahkota Ismail sebelum beliau menang tanpa bertanding pada kongres pemilihan bagi penggal 2021-2025.

Antara pencapaian tertinggi yang diraih skuad bola sepak kebangsaan sepanjang di bawah pimpinan Hamidin adalah Harimau Malaya mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit selepas 42 tahun.

Selain itu, Hamidin menjelaskan tindakannya mengumumkan tidak mempertahan jawatan lebih awal adalah untuk berlaku adil kepada semua pihak selain memberi ruang kepada ahli gabungan membuat penilaian terhadap calon presiden baharu.

“Ada dua bulan lagi, ahli gabungan ada masa nak fikir siapa paling layak untuk menerajui FAM. Jadi biar saya berlaku adil kepada mereka.

sumber:- HM

“Sebab itu saya nak bagi tahu awal, saya boleh sahaja maklumkan lewat. Tapi saya pun perlu berhati besar untuk umum awal supaya proses itu berjalan dengan baik, telus dan terbuka,” katanya.