sukan

Kesilapan bodoh — TMJ

Keputusan seri tanpa jaringan dengan Buriram United menyaksikan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas keputusan itu.

Dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi, skuad Harimau Selatan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diberi tentangan sengit oleh Buriram United dari Thailand.

Bagaimanapun, keputusan itu nyata tidak disenangi Tunku Mahkota Ismail yang menganggap anak buah Hector Bidoglio bernasib baik tidak tumbang dalam perlawanan penuh dramatik itu termasuk dua kad merah kepada pemain JDT dan satu kepada pasukan lawan.

“Nasib tidak baik, hanya melihat bola. Kesilapan bodoh dan satu mata. Nasib baik tak kalah.”Apa-apa pun saya ambil tanggungjawab sepenuhnya,” katanya di laman sosial miliknya.

Tunku Mahkota Ismail memaklumkan pihaknya serta barisan kejurulatihan sudah mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki menjelang aksi berikutnya.

“Saya pun sudah kenal pasti apa perlu saya, jurulatih dan kelab buat untuk menambah baik pasukan ini,” katanya.

Susulan keputusan itu, JDT kini menghuni tangga keenam kumpulan dari Zon Asia Timur dengan mengumpul lapan mata daripada enam aksi dilalui setakat ini.

Untuk layak ke pusingan 16 terbaik ACLE, wakil negara itu perlu menamatkan kedudukan dalam kelompok lapan terbaik daripada 12 pasukan.

sumber:- HM

Lantas berbaki dua perlawanan menentang kelab Australia, Central Coast Mariner dan Pohang Steelers dari Korea Selatan pada Februari depan, JDT wajib memungut enam mata maksimum untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik.