sukan

Keputusan aksi Liga Super TFC berdepan Kelantan

Terengganu FC (TFC) terus mengukuhkan kedudukan di kelompok atasan carta Liga Super selepas membenam Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.

Ia adalah kemenangan keenam selepas mengharungi 15 aksi liga dengan mengumpul 24 mata untuk berada di kedudukan keempat daripada 13 pasukan bertanding.

Malah, ia adalah kemenangan kedua buat pengendali, Badrul Afzan Razali dalam aksi Liga Super daripada lima aksi di bawah kendaliannya sejak 4 Oktober lalu apabila dilantik menggantikan Tomislav Steinbruckner selepas melepaskan jawatan.

Sebaliknya, kekalahan itu meletakkan KDN FC terus terperosok di dasar liga dengan kali terakhir merasai nikmat kemenangan pada 27 September lalu dengan menumbangkan Negeri Sembilan FC (NSFC), 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dalam aksi itu, skuad Kijang Emas yang terpaksa menukar venue di Lembah Klang ekoran kerja mengubah suai di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di Kota Bharu itu lebih banyak menyerap asakan pelawat.

Selepas beberapa kali mencuba, skuad Penyu akhirnya di depan menerusi sepakan cantik dari luar kotak penalti yang dilakukan Alif Zakaria pada minit ke-11 untuk menewaskan Fikri Che Soh di pintu gol.

TFC terus mengasak, namun tiada gol dihasilkan sehingga tamat babak pertama.

Pada babak kedua, TFC memperoleh gol kedua hasil penyudah ketua pasukan, Safawi Rasid di minit ke-64 selepas dia tenang mengawal bola hantaran Nurillo Tukhtasinov.

Selepas jaringan itu, aksi kedua-dua pasukan agak seimbang dan KDN FC dihadiahkan sepakan penalti dalam masa kecederaan dan Oday Kharoub tenang meletakkan bola ke gawang lawan.

sumber:- HM

Kemenangan itu sudah pasti melonjakkan moral pemain TFC yang akan berkunjung ke NSFC dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia, Sabtu depan.