sukan

ACLE: Aksi ‘ngeri’ Theerathon Bunmathan terhadap Arif Aiman

Theerathon Bunmathan dilayangkan kad merah susulan tindakan kurang bijaknya terhadap bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Terdahulu, Murilo Santos juga diberikan kad merah selepas menjatuhkan pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools.Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United FC sama liat apabila kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 pada aksi Kumpulan Zon Timur saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, pertembungan dua kelab terbaik Asia Tenggara itu dicemari dengan layangan dua kad merah pada babak pertama kepada Murilo Henrique dan Theerathon Bunmathan sebelum seorang lagi pemain JDT, Park Jun-heongmenerima nasib sama di hujung permainan.

Dalam pertembungan dua kelab gergasi Asia Tenggara itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio melakukan rombakan kecli dengan tidak menyenarai Jorge Obregon dalam kesebelasan utama, sebaliknya memilih Bergson da Silva mengemudi jentera serangan.

Ketika kerancakan permainan dipamerkan kedua-dua pasukan tatkala masing-masing saling serang antara satu sama lain, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain walaupun tempoh permainan memasuki minit ke-12 apabila Murilo dllayangkan kad merah.

Ia berpunca daripada Murilo yang mengasari Dion Cools dan pengadil dari Arab Saudi, Khalid Saleh Alturais yang melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) membatalkan kad kuning yang pada awalnya dilayangkan kepada Murilo dan menukar kepada kad merah.

Skuad Harimau Selatan tampak tertekan selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain tatkala Bidoglio mengubah formasi permainan dengan meletak Oscar Arribas beraksi di posisi sayap kiri dan situasi itu mengundang resah apabila Buriram United FC semakin ketara menguasai permainan.

Walaupun beraksi dengan kekurangan pemain, JDT mengundang cemas di gawang Buriram United FC pada minit ke-29 selepas bola umpanan Arif Aiman Hanapi membuka ruang buat Bergson merembat bola kencang sehingga memaksa penjaga gol, Neil Etheridge melayangkan bola untuk menepis bola.

Skuad yang di gelar Thunder Castle hampir melakar kejutan ke atas JDT pada minit ke-39 selepas Lucas Crispim merembat bola kencang tatkala berada di dalam kotak penalti mujur Eddy Israfilov sempat merebahkan badan dan menendang bola keluar bagi mengelak bola daripada dibolosi.

Ketika aksi memasuki minit ke-44 giliran Buriram United FC pula terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Khalid Saleh yang menyemak VAR mengesan ada kekasaran yang dilakukan Theerathon terhadap Arif Aiman dan pengadil perlawanan tidak teragak-agak melayangkan kad merah.

Bersambung babak kedua, menerusi bola gerakan Juan Muniz yang melakukan sepakan lintang hampir mengundang gol sendiri buat Buriram United FC pada minit ke-53 selepas Kim Minh-yeok tertampan bola mujur hanya sipi daripada gawang gol ketika Etheridge sudah tertewas.

JDT sekali lagi masih belum mampu merungkai jaringan pada minit ke-64 selepas bola rembatan leret Bergson yang berada di dalam kotak penalti tepat ke penjuru kanan gol tapi Etheridge sempat menangkap bola yang hampir melepasi garisan gol.

Berbaki 15 minit permainan, Bidoglio melakukan perubahan terhadap barisan pemainnya apabila membawa masuk Jorge Obregon dan Heberty Fernandes dan mengeluarkan Muniz dan Bergson dalam usaha menguatkan jentera serangan.

Heberty hampir memberi sinar buat JDT pada minit ke-85 apabila gerakan dari bawah secara solo menyaksikan dia tidak menunggu lama dan melakukan rembatan kencang di luar kotak penalti namun Etheridge sudah bersedia untuk menepis bola keluar.

sumber:- HM

Malang buat JDT yang terpaksa bermain dengan sembilan pemain ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan selepas Jun-heong pula dilayangkan kad merah oleh Khalid Saleh kerana mengasari Gulherme Campos dan kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan.