Penyokong Selangor FC (SFC) jelas tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia antara pasukan itu menentang Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid menyifatkan perlawanan terbabit terpalit dengan banyak kontroversi membabitkan keputusan pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail dan juga keputusan daripada Video Bantuan Pengadil (VAR).
“Bagi saya, mutu pengadilan pada perlawanan semalam sungguh teruk dan amat mengecewakan. Pengadil macam nak bagi SFC kalah jadi penyokong memang tidak berpuas hati dengan pengadil.
“Apabila adanya VAR ini, pasukan lawan sentiasa dapat penalti tetapi kalau SFC yang minta, keputusan VAR sebaliknya. Pengadil di negara ini selalu buat keputusan salah tetapi selepas itu, mereka hanya digantung perlawanan.
“Keputusan yang salah itu tidak boleh mengubah keputusan perlawanan,” katanya.
Pada aksi terbabit, SFC yang juga juara 33 kali Piala Malaysia gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila disingkirkan Sri Pahang FC (SPFC) 2-3 secara agregat selepas tewas 1-2 pada aksi di laman sendiri.
Dua jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Manuel Hidalgo dan Sergio Aguero menamatkan cabaran mereka dalam Piala Malaysia bagi musim ini namun mereka akan meneruskan perjuangan dalam saingan Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Dalam perkembangan sama, Faizal juga mengakui pengendali baharu, Katsuhito Kinoshi wajar terus diberikan masa untuk membentuk pasukan dan memperbaiki kelemahan yang ada supaya pasukan dapat bangkit pada aksi seterusnya.
“Kita boleh lihat SFC bagaikan tiada tuah, contohnya ketika menentang Muangthong United di mana tiga kali percubaan terkena tiang.
“Jurulatih baharu perlu diberi masa untuk membentuk pemain yang benar-benar memenuhi citarasanya untuk menguatkan pasukan. SFC bukanlah pasukan yang lemah tetapi ketandusan penyerang yang boleh menjadi mesin gol.
sumber:- BH
“Pemain yang tidak menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan juga perlu direhatkan oleh barisan kejurulatihan,” katanya.