Suku akhir Piala Malaysia menjanjikan aksi yang ‘lazat’ selepas bakal menyajikan ‘Derbi Borneo’ apabila Kuching City FC (KCFC) menempah pertemuan dengan Sabah FC bagi perebutan tiket ke separuh akhir.
KCFC di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak menyingkirkan Penang FC (PFC) 3-0 secara agregat hasil kemenangan 2-0 di Stadium Negeri, sebentar tadi selepas meraih kemenangan 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Bandaraya, sebelum ini.
Permainan seimbang dengan tiada pasukan yang tampak lebih menguasai permainan namun KCFC menghantar amaran pada minit ke-10 menerusi percubaan Ramadhan Saifullah namun terlalu tinggi melewati palang gol.
PFC mengatur gerakan untuk mencari gol bagi menyamakan agregat, bagaimanapun tandukan Rodrigo Dias pada minit ke-17 disusuli rembatan Nik Akif Syahiran Nik Mat empat minit berselang tidak tepat ke gawang gol KCFC.
Pelawat berdepan nasib malang apabila Adib Raop dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohamad Faizudin Ismail pada minit ke-41 selepas semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain kebangsaan itu menerjah kaki Moses Atede.
Bersambung babak kedua, PFC cemas apabila nyaris dibolosi gol sendiri selepas hantaran ke belakang pemainnya, Richmohd Ankrah terkena tiang pada minit ke-51 sebelum dikeluarkan pemain PFC.
Pemburuan KCFC untuk mendapatkan gol pembukaan berhasil selepas Tchetche Kipre menyudahkan hantaran Petrus Shitembi pada minit ke-67 sekali gus menjadikan agregat 2-0.
sumber:- BH
Ramadhan Saifullah yang meledak gol tunggal perlawanan pada aksi pertama menambah gol kedua KCFC pada minit ke-79 untuk memadam semangat perjuangan PFC yang beraksi dengan 10 pemain.