Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh terpaksa bermandi peluh sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, hari ini.
Pemain ranking ke-49 dunia itu diheret beraksi sehingga set penentuan oleh wakil tuan rumah yang menghuni ranking ke-74 dunia, Mithun Manjunath sebelum mencatat kemenangan 21-18, 17-21, 21-17 dalam tempoh 71 minit pada aksi pusingan pertama.
Justin akan berdepan pilihan kelapan dari India, Ayush Shetty bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Cheam June Wei turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi seorang lagi wakil tuan rumah, S Sankar Muthusamy 21-19, 23-21 dan akan bertemu pemain Singapura, Jason Teh.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tewas kepada pilihan pertama dari India, Lakshya Sen 12-21, 12-21.
Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa turut terkandas di pusingan pertama selepas tunduk di tangan pemain China, Dai Wang 16-21, 19-21.
Dalam saingan beregu lelaki, gandingan Bryan Jeremy Goonting-Muhammad Fazriq Mohamad Razif tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir selepas mengetepikan cabaran gandingan India, Vishnu Sreekumar-Ashith Surya 21-15, 21-14.
Mereka akan menentang gandingan China, Huang Di-Liu Yang pada aksi kedua, esok.
Dalam acara beregu campuran, gandingan negara, Loo Bing Kun-Ho Lo Ee menewaskan Ram Arigela-Vennala Kalagotla dari India 21-15, 21-15 untuk mara ke pusingan kedua.
sumber:- BH
Bagaimanapun, ujian getir menanti mereka apabila dijadual menentang pilihan pertama, B Sumeeth Reddy-Sikki Reddy bagi perebutan tiket ke suku akhir.