sukan

Josh Brownhill bakal pecah rekod pemain termahal Malaysia

Salah seorang prospek baharu skuad Harimau Malaya, Josh Brownhill bakal muncul pemain paling mahal jika benar dia boleh beraksi untuk Malaysia.

Brownhill, 29, yang juga ketua pasukan Burnley FC didakwa memiliki pertalian darah dengan negara ini dari sebelah neneknya.

Berdasarkan nilai semasa pemain tengah berkenaan di laman Transfermarkt , dia ketika ini diletakkan pada tanda harga 13 juta Euro atau bersamaan RM61 juta.

Nilai itu cukup tinggi dan sekiranya menyertai skuad negara, dia akan menjadi pemain termahal Malaysia.Pengalaman luas Brownhill beraksi di England amat ditagih di mana dia sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab seperti Preston North End, Barnsley dan Bristol City sekali gus mampu mengisi kelompongan bahagian tengah skuad Harimau Malaya.

Malah, Brownhill yang bakal mengakhiri kontraknya di Turf Moor pada musim panas kini menjadi sasaran Lazio, Fiorentina dan Torino.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan sekurang-kurangnya lapan tonggak berdarah warisan yang dikategorikan sebagai pemain gred ‘A’ di Eropah bakal memperkuatkan skuad negara selepas ini.

Berdasarkan senarai 35 pemain yang dikongsikan laman pencari bakat, frfuturetalents, terdapat lapan pemain yang memiliki latar belakang bola sepak yang cukup hebat, di mana mereka kini beraksi bersama kelab-kelab utama di Eropah.

Walaupun kesahihan status warisan Malaysia masih belum disahkan, namun kelibat lapan tonggak ini seolah memberi sinar harapan buat bola sepak negara kembali menyinar di pentas antarabangsa.

sumber:- HM

Antara pemain gred ‘A’ dimaksudkan adalah Brownhill, Kiernan Dewsbury-Hall, Tyrhys Dolan, Marcus Tavernier, Milan van Ewijk, Jamie Shackleton, Iggy Houben dan Zian Flemming.