sukan

TERKINI: Romel Morales pula tak dapat lapor diri

Selepas kehilangan dua pemain tengah, Natxo Insa dan Mukhairi Ajmal Mahadi, skuad Harimau Malaya sekali lagi berdepan detik malang apabila terlepas khidmat penyerang naturalisasi, Romel Morales.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat melapor diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC, malam tadi.

Susulan itu, pengendali skuad kebangsaan Pau Marti Vicente memanggil pemain muda berusia 21 tahun dari kelab Chonburi FC, Fergus Tierney bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Morales.

“Fergus dan kapten, Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Bangkok, Thailand setibanya skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti di sana, esok,” kata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan, hari ini.

Empat pemain JDT yang lain iaitu penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Mohd Hanapi sudah melapor diri bersama skuad kebangsaan.

Semalam, Vicente menggugurkan Insa dan Mukhairi selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) minggu lalu.

sumber:- BH

Pengendali dari Sepanyol itu kemudian memanggil pemain Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya dan Fazrul Amir Md Zaman (Kelantan Darul Naim) bagi mengisi dua kekosongan itu.