Hatrik Viktor Gyokeres membantu Sporting Lisbon menewaskan Manchester City 4-1 pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi, sekali gus membuktikan kemampuan Ruben Amorim yang berjaya menarik minat Manchester United untuk memikatnya ke Old Trafford.
Pengurus Sporting, Amorim, sudah menerima tawaran United untuk menggantikan Erik ten Hag dan secara rasmi akan mengambil alih kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bermasalah itu pada 11 November ini.
Dianggap sebagai salah seorang pengurus muda terbaik di Eropah, pengendali berusia 39 tahun itu memperlihatkan kepintarannya ketika Sporting mendedahkan kelemahan pertahanan City yang dibelenggu masalah kecederaan.
Phil Foden membuka jaringan untuk City pada saat-saat awal di stadium Jose Alvalade, namun pasukan pelawat mensia-siakan beberapa peluang untuk menambah jaringan dan Sporting mengambil kesempatan itu.
Gyokeres menyamakan kedudukan sebelum rehat separuh masa pertama, dan Maximiliano Araujo menjaringkan gol kedua untuk Sporting selepas rehat, sebelum dua gol penalti Gyokeres melengkapkan kebangkitan luar biasa tuan rumah.
Erling Haaland terlepas peluang untuk memberi harapan kepada City pada separuh masa kedua apabila sepakan penalti yang diambilnya terkena palang.
Amorim sebelum perlawanan berkata penyokong United mungkin berfikir “Alex Ferguson baharu sudah tiba” jika pasukannya berjaya mengalahkan City.
Selepas United kini terperosok di pertengahan liga, Amorim jelas berdepan tugas sukar untuk memulihkan kegemilangan kelab seperti yang dinikmati pada era Ferguson.
Untuk membandingkannya dengan bekas pengurus legenda United itu mungkin terlalu awal, tetapi kemenangan meyakinkan Sporting akan membuatkan penyokong tidak sabar menunggu kehadirannya.
Amorim yang membawa Sporting menjuarai dua gelaran Liga Portugal dalam tempoh empat tahun, dijangka akan memimpin perlawanan pertama United di Ipswich pada 24 November.
Pep Guardiola akan mendapat peluang untuk membalas dendam dalam perlawanan seteru setempat pertama di bawah bimbingan Amorim dekat Stadium Etihad pada 15 Disember.
Namun, Guardiola mempunyai banyak ‘kerja’ menjelang perlawanan itu ketika dia sedang berusaha mencari jalan penyelesaian kemerosotan dialami City yang sudah tewas tiga perlawanan berturut-turut.
Juara Liga Perdana, City mengalami kekalahan liga pertama musim ini menentang Bournemouth, Sabtu lalu, tiga hari selepas tewas kepada Tottenham dalam Piala Liga.
Ketiadaan Rodri, Jack Grealish, Ruben Dias, John Stones dan Oscar Bobb, City menyaksikan City kehilangan momentum secara drastik.
sumber:- HM
Kekalahan pertama dalam empat perlawanan Liga Juara-Juara musim ini mungkin tidak menjejaskan harapan mereka untuk pentas Eropah, namun Guardiola pasti berharap pasukannya memberikan reaksi positif ketika menentang Brighton, Ahad ini.