sukan

TERKINI: Faiq Haziq kejutkan pemain nombor tiga dunia

Pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Faiq Haziq Masawi beraksi cemerlang untuk mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Nanchang, China, hari ini.

Faiq yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan mengejutkan pemain remaja nombor tiga dunia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bharath Lateesh 21-14, 21-19 dalam tempoh 39 minit pada aksi pusingan keempat di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang.

Kemenangan menyaksikan Faiq terus mengibarkan cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki selepas wakil negara yang lain sudah tersingkir sebelum ini.

Dia akan berdepan pemenang perlawanan antara pilihan kedua dari Indonesia, Moh Zaki Ubaidillah dengan pemain Vietnam, Nguyen Van Mai bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Kali terakhir Malaysia merangkul gelaran dunia dalam acara perseorangan lelaki adalah menerusi Zulfadli Zulkifli pada edisi 2011 di Taiwan.

Sementara itu, beregu campuran negara, Datu Anif Datu Asrah-Dania Sofea Zaidi turut melangkah ke suku akhir selepas mengetepikan pasangan Taiwan, Bao Xin Da Gu La Wai-Hsieh Mi Yen.

Gandingan negara itu memastikan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas melakar kemenangan 21-19 21-18 ke atas lawan berkenaan.

Mereka bagaimanapun berdepan ujian getir dalam usaha untuk mara ke separuh akhir apabila dijadual bertemu pilihan kedua yang juga wakil tuan rumah, Lin Xiang Yi-Lui Yuan-Yuan, esok.

Ketua jurulatih skuad badminton remaja negara, Jeffer Rosobin gembira dengan prestasi yang ditunjukkan Faiq serta Datu Anif-Dania Sofea dan percaya mereka mampu menampilkan aksi terbaik pada perlawanan suku akhir, esok.

“Syukur kerana Faiq dan beregu campuran (Datu Anif-Dania Sofea) kita menang. Diharapkan esok mereka boleh sekali lagi mempamerkan prestasi terbaik.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya lihat mereka ketika ini dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi perlawanan esok.

“Walaupun mereka berdepan lawan yang sukar tetapi saya percaya peluang untuk menang tetap ada. Saya percaya mereka akan berjuang habis-habisan untuk memastikan sekurang-kurangnya kita membawa pulang pingat,” katanya kepada BH Sukan.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi pemain perseorangan wanita negara, Ong Xin Yee yang terpaksa akur tewas di tangan pilihan ke-12 dari Taiwan, Wong Pei Yu dalam pertarungan tiga set.

sumber:- BH

Selepas tewas set pertama 10-21, Xin Yee bangkit memenangi set kedua 21-14 sebelum tunduk 16-21 di set ketiga sekali gus mengakhiri cabaran pada kejohanan kali ini.