Ketua jurulatih Australia Graham Arnold berkata, pasukannya sangat kecewa selepas kemarau jaringan mereka berterusan apabila hanya mampu seri 0-0 dengan Indonesia dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Jakarta, semalam.
Socceroos menguasai perlawanan di hadapan 80,000 penonton di Stadium Gelora Bung Karno tetapi menduduki tangga kedua tercorot Kumpulan C selepas hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan.
Australia sekali lagi gagal menjaringkan gol selepas tewas mengejut 0-1 di tangan Bahrain di tempat sendiri minggu lalu dalam aksi pembukaan kelayakan.
Mereka mencipta 19 percubaan ketika menentang Indonesia dan mendominasi perlawanan serta mempunyai 15 sepakan sudut tetapi masih gagal menembusi gawang tuan rumah.
“Ia peningkatan prestasi yang ketara tetapi sangat kecewa kerana banyak peluang dicipta dan berapa banyak pula peluang mereka peroleh, “kata Arnold.
Namun, Arnold turut memuji penguasaan pasukannya di hadapan puluhan ribu penyokong Indonesia tetapi tidak gembira dengan keputusan perlawanan.
“Pemain saya melakukan segalanya. Mereka semuanya mengakui prestasi tak cukup bagus ketika aksi pertama menentang Bahrain,” katanya.
Australia akan menentang China di Adelaide selepas ini dan Jepun bulan depan tetapi pengurus Socceroos itu menjelaskan mereka masih ada peluang untuk menebus kesilapan.
sumber:- HM
Dalam perlawanan lain, Arab Saudi menewaskan China 2-1 manakala Korea Selatan menang 3-1 ke atas Oman. Jepun pula meneruskan kegarangan mereka dengan membelasah Bahrain 5-0.