Finalis Piala Asia 2023, Jordan mencatat kemenangan sulung dalam kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Palestin 3-1 pada aksi Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Penyerang Yazan Al-Naimat muncul wira skuad The Chivalrous Ones selepas meledak dua gol masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua sementara gol tunggal Palestin dijaringkan penyerang Wessam Abouli ketika permainan menghampiri waktu rehat.
Jaringan pemain tengah Selangor FC Noor Al-Deen Al Rawabdeh di pertengahan babak kedua melengkapkan kemenangan Jordan yang dibimbing Jamal Sellami.
Palestin di ranking ke-96 dunia, mengalami kekalahan pertama selepas memulakan saingan kelayakan dengan cemerlang apabila mencuri satu mata ketika mengikat Korea Selatan 0-0 di Seoul minggu lepas.
Terdahulu, pada perlawanan malam tadi gerakan solo Al-Naimat membuahkan hasil yang disudahkan dengan rembatan kaki kanan menerjah kanan gawang pada minit kelima untuk gol pertama Jordan.
Palestin menyamakan kedudukan empat minit sebelum separuh masa pertama apabila hantaran lintang dari sebelah kiri Camilio Saldana disempurnakan Abouli yang melepaskan tandukan padu.
Bersambung babak kedua, Jordan tidak menunggu lama untuk kembali mendahului perlawanan apabila Al-Naimat menyudahkan peluang terhidang dengan rembatan kaki kanan selepas menerima umpanan Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-50.
Selepas beberapa siri serangan yang tidak berhasil, Jordan akhirnya meledak gol ketiga apabila umpanan cantik Al-Mardi ke dalam kotak penalti disudahkan dengan baik Al Rawabdeh pada minit ke-72 untuk mengesahkan kemenangan pertama pasukan yang seri 1-1 dengan Kuwait di Amman, minggu lepas.
Jordan selepas ini akan menerima kedatangan Korea Selatan di Amman manakala Palestin kendalian Makram Daboub dijadual berkunjung ke Iraq untuk menentang tuan rumah, bulan depan.
sumber:- HM
Sebagai rekod, Palestin memilih Malaysia sebagai gelanggang neutral untuk menghadapi kempen kelayakan selepas negara itu terlibat dalam konflik peperangan akibat kekejaman tentera Israel.