Pengendali kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC, Jose Munoz akui terkejut selepas anak buahnya berjaya membenam cabaran tuan rumah, Terengganu FC (TFC) dalam aksi pertama Kumpulan A saingan Piala Shopee malam tadi.
Jelas jurulatih kelahiran Sepanyol itu, kemenangan 3-2 menundukkan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu adalah hadiah yang begitu berharga kepada pemainnya yang berusaha keras sejak musim lalu.
Bagaimanapun jurulatih berusia 45 tahun yang membantu skuad itu menjuarai Liga Kemboja pada tahun lalu menegaskan perjalanan pasukannya masih berliku untuk layak ke pusingan seterusnya memandangkan baharu perlawanan pertama.
“Corak permainan yang diperagakan pemain begitu baik lebih-lebih lagi selepas berjaya melakar kemenangan pada perlawanan pertama di tempat lawan.
“Namun berdasarkan deretan peluang yang diperoleh, saya fikir kami berhak mendapat lebih banyak gol sama ada pada babak pertama ataupun kedua.
“Apapun tahniah buat pemain yang berjaya mengutip tiga mata kerana sedar bukan mudah untuk menyaingi skuad TFC itu, namun usaha sejak lebih setahun yang lalu akhirnya membuahkan hasil.
“Bagaimanapun saya mengharapkan pemain tidak dibuai kejayaan itu, sebaliknya perlu bekerja lebih keras lagi sebelum berdepan kelab Thailand, BG Pathum United FC pada aksi kedua 25 September depan,” ujarnya pada sidang media selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi, skuad Blue Saber itu meledak dua gol pantas pada minit ke-12 dan 15 masing-masing menerusi Gabriel Costa dan Pablo Carvalho serta satu gol lagi menerusi Min Ratanak pada babak kedua.
sumber:- HM
Manakala dua gol tuan rumah dijaringkan oleh Manuel Ott dan sepakan penalti menerusi kapten, Safawi Rasid.