sukan

AFC sah sudah buka kertas siasatan terhadap FAM dan MFL

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah membuka kertas siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John, kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Seandainya pelanggaran syarat pelesenan kelab berlaku, FAM dan MFL berdepan risiko lesen liga dari AFC ditarik balik dan akan membawa kepada tiada wakil Malaysia layak beraksi di pentas Asia.

Isu gaji dalam saingan Liga Malaysia sudah mula mendapat perhatian AFC dan Jabatan Pelesenan Kelab AFC kali ini membuka kertas siasatan drastik dengan tujuan untuk melakukan penilaian semula apabila terdapat beberapa kelab yang tidak menepati syarat pelesenan kelab masih diberikan peluang untuk mendapatkan pelesenan kelab.

Dua tahun lalu, Persatuan Bolasepak Iran pernah digantung daripada mendapatkan lesen dan kesannya, tiada wakil negara itu dapat beraksi di pentas Asia.

Kekeliruan mula timbul apabila Kuala Lumpur City mendapat pelesenan kelab bagi musim 2024-25, pada ketika mereka dilaporkan masih memiliki tunggakan bayaran KWSP sejak Februari 2023.

“Fail siasatan sudah pun dibuka dan langkah seterusnya, kami akan menghubungi MFL dan FAM untuk memulakan perbincangan bersama Jabatan Pelesenan Kelab yang akan memantau dan melihat proses pemberian lesen,” kata Windsor kepada Fina Nasrom.

“Selepas maklumat itu dikumpul, kami akan membuat keputusan melalui jawatankuasa yang kami ada,” katanya.Mengulas lanjut, Windsor menambah: “Kesan yang paling berat ialah tiada wakil yang boleh kami terima kerana kuasa mereka (FAM dan MFL) untuk memberikan lesen ditarik balik oleh kami memandangkan terdapat masalah dalam proses pemberian lesen.

“Kalau langgar kena hukum, kerana kami memiliki ketetapan. Tak kan satu negara kena dan satu negara tak kena. Hukumannya akan tetap ada.

“Jadi, kami perlu melihat dahulu sama ada mereka ada melanggar peraturan atau tidak,” katanya.Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi, dalam respons segeranya kepada Fina Nasrom, berkata pihaknya bersama MFL sedia memberikan kerjasama penuh kepada hasrat yang telah disuarakan AFC itu.

“Saya mengalu-alukan apa jua tindakan AFC kerana saya fikir tindakan itu dibuat bagi memastikan liga kita berjalan dengan baik.

sumber: stadium astro

“Untuk perkara ini, saya hanya boleh katakan kami (FAM) bersikap terbuka kerana bagi saya, ia untuk melihat jika liga kita ini ada kecacatan atau kelemahan dan tentu sekali ia boleh memperbaiki keadaan yang ada,” katanya.