sukan

Piala Raja Thai : Sekali lagi peluang Malaysia mengaum

KETUA jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais bakal melakukan perbincangan dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi menentukan barisan yang akan diturunkan pada Piala Raja Thai di Bangkok pada September nanti.

Menurutnya, dia akan bersemuka dengan PSM untuk meminta pandangan sama ada ingin menurunkan barisan gabungan terkuat atau menyenaraikan skuad pelapis di Thailand nanti.

“Kita hanya mempunyai tempoh kira-kira dua bulan lebih dari sekarang dan akan berbincang dengan pihak persatuan untuk melihat sejauh mana mengenai sasaran di Piala Raja Thai.

“Jika kita tahu hala tuju persatuan lebih awal, dari situ kita dapat mempersiapkan pasukan sama ada untuk menghantar skuad utama atau pendedahan kepada pemain muda.

“Jadi, untuk melakukan rombakan senarai pemain sedia ada terutama di Piala Dunia ini, kita perlu dapatkan pandangan PSM secara keseluruhan terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jais menjelaskan, dia akan memanggil pemain berpotensi menyertai skuad kebangsaan agar nama-nama sedia ada tidak terlalu selesa kerana tempat mereka bakal diambil alih jika kurang menyerlah.

“Kita sebenarnya ada beberapa pemain di luar sana yang tidak dapat sertai pasukan. Jadi kita akan berbincang dengan pihak persatuan dan Majlis Sukan Malaysia (MSN) mengenai cara kita boleh bawa pemain yang ada potensi besar untuk menyertai pasukan negara.

“Langkah ini dibuat agar kita dapat ‘sparring’ yang baik dan juga daya saing tinggi supaya pemain tidak berasa selesa. Ini akan memberi tekanan kepada pemain sedia ada untuk rebut tempat dalam pasukan kebangsaan,” ujarnya.

Pasukan negara menyerlah di Piala Dunia 2024 apabila berjaya menjuarai acara double dan regu menewaskan Thailand di pentas final.

Bagaimanapun, harapan melengkapkan kejuaraan hatrik tidak kesampaian apabila tewas 1-2 dalam acara berpasukan.