sukan

Bakal berdepan hukuman keras

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pemain muda yang ‘melampaui batas’ susulan insiden pergaduhan pada aksi Piala Belia antara Melaka menentang Sri Pahang FC (SPFC), Ahad lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan badan induk itu sudah mengeluarkan surat pertuduhan kepada kedua-dua pasukan semalam dan badan induk itu sememangnya memandang serius insiden yang tidak sepatutnya berlaku itu.

“Kita di FAM memandang serius perkara sebegini. Jadi laporan lengkap akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib untuk melihat langkah hukuman yang akan dikenakan.

“Saya harapkan kalau tindakan tegas yang (boleh) kita akan ambil memandangkan di peringkat Piala Belia tak sepatutnya berlaku macam ini (pergaduhan). Piala Belia sekurang-kurangnya medan melahirkan pemain yang berdisiplin, beradab dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, aksi Piala Belia 2024 antara Melaka berdepan SPFC bertukar menjadi ‘gelanggang MMA’ selepas berlaku pergaduhan besar-besaran antara kedua-dua pemain pasukan terbabit.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, insiden itu bermula dengan aksi tolak-menolak antara beberapa pemain di tepi padang.Bagaimanapun, pergaduhan bertambah ‘rancak’ apabila semakin ramai pemain yang terbabit dengan aksi tolak-menolak sambil cuba ditenangkan barisan kejurulatihan yang mahu menghentikan pergaduhan itu.

Kemuncak pergaduhan itu adalah apabila seorang pemain SPFC kelihatan berlari dari belakang sebelum menerajang seorang pemain Melaka sehingga pemain itu terjatuh.

sumber:- BH

Insiden itu menyaksikan pemain simpanan SPFC, Adam Syaqir Barzu dilayangkan kad merah pada minit ke-41 kerana menendang pemain Melaka.