sukan

Chelsea ranapkan impian Manchester United ke Liga Juara-Juara

Wira hatrik Cole Palmer meledak dua gol pada masa kecederaan awal pagi tadi membantu Chelsea mengejutkan Manchester United 4-3, sekali gus menamatkan impian United untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Anak buah Erik ten Hag kelihatan akan melakar kemenangan bermakna selepas bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mendahului 3-2 dalam perlawanan yang menarik menyaksikan keseluruhan 47 percubaan.

Namun Palmer mengecewakan mereka, menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-100 dan kemudian menyumbat gol kemenangan beberapa saat kemudian.

Kekalahan buat United meninggalkan mereka 11 mata di belakang pasukan tangga keempat Aston Villa dengan berbaki lapan perlawanan dan berdepan musim tanpa pembabitan dalam pertandingan elit kelab Eropah.

Namun ia melonjak anak buah Mauricio Pochettino ke tangga ke-10 dalam liga, mengekalkan buruan mereka untuk beraksi di Eropah.Chelsea hadir pada perlawanan itu dengan catatan tidak menang ke atas Manchester United dalam 12 pertembungan Liga Perdana Inggeris namun mendahului seawal empat minit menerusi kapten Conor Gallagher.

Palmer menggandakan kelebihan tuan rumah dengan penalti pertamanya pada minit ke-19 dalam babak awal yang menyeksakan buat pasukan Ten Hag yang tidak konsisten.

Namun dua gol dalam tempoh lima minit babak pertama menerusi Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes kembali meletakkan pelawat dalam saingan.

Permainan semakin rancak pada babak kedua namun Garnacho menanduk masuk hantaran silang Antony untuk meletakkan United di depan pada minit ke-67.

Pelawat dilihat mampu meraih kemenangan yang boleh melonjakkan moral mereka namun pegawai perlawanan mengarahkan lapan minit masa tambahan.

Chelsea hidup semula apabila Diogo Dalot menjatuhkan Noni Madueke dan keputusan pengadil Jarred Gillett memberikan penalti di tengah padang disahkan selepas semakan VAR yang agak lama.

Namun drama tidak berakhir di situ.

United terperangkap dengan sepakan sudut pantas dilakukan Enzo Fernandes yang mengumpan pendek kepada Palmer.

sumber:- BH

Bintang muda Chelsea itu merembat masuk melepasi Andre Onana dengan bantuan bola yang terbias untuk memastikan tiga mata, sekali gus menggamatkan Stamford Bridge. – AFP