sukan

Piala Asia : Keputusan aksi Arab Saudi lawan Oman

Arab Saudi bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Oman 2-1 dalam aksi Kumpulan F Piala Asia di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Ketika kedudukan terikat 1-1, Ali Al-Bulayhi menanduk masuk bola enam minit dalam masa kecederaan dan penjaga garisan mengangkat bendera ofsaid, namun VAR mengesahkan jaringan buat skuad kendalian Roberto Mancini.

“Jaringan itu adalah hadiah buat rakyat Saudi. Inilah yang dilakukan pemain-pemain hebat,” kata Al-Bulayhi yang meraikan jaringan dengan meniup belon hijau.

Kemenangan itu meletakkan Arab Saudi pada tiga mata bersama Thailand, yang menewaskan Kyrgyzstan 2-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan F.

Oman membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi sepakan penalti Salaah Al-Yahyaei selepas Hassan Al-Tambakti menjatuhkan Muhsen Al-Ghassani.

Skuad kendalian Mancini gagal menembusi benteng Oman sepanjang babak pertama tetapi situasi mula berubah di babak kedua.

Abdulrahman Ghareeb menggelecek empat pertahanan Oman sebelum menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-78.

“Babak kedua lebih baik berbanding babak pertama, kami mencipta banyak peluang, lebih menguasai permainan. Jika menguasai permainan, anda berpeluang menjaringkan gol.

“Oman bertahan dengan baik. Pada awalnya kami buntu tetapi kemudian kami mempunyai peluang dan menjaringkan gol. Akhirnya gol kedua berjaya ditemui, sepatutnya lebih awal,” kata Mancini.

Pengendali Oman, Branko Ivankovic akur dengan kekalahan pasukannya di tangan Arab Saudi yang beraksi lebih baik.

sumber:- HM

“Arab Saudi berhak menang. Ghareeb pemain yang luar biasa. Kami mahu menjaringkan gol kedua untuk pemain-pemain rasa lebih selesa, tetapi di akhir-akhir permainan, kami tidak mempunyai pilihan,” kata Ivankovic. – REUTERS