Erik ten Hag dilaporkan hilang sokongan separuh daripada pemain dalam bilik persalinan Manchester United disebabkan corak pengurusannya.
Ia hadir selepas Red Devils tewas di tangan Newcastle Sabtu lalu, kekalahan ke-10 mereka dalam semua pertandingan musim ini.
Ketika pasukan kendalian Ten Hag menghuni tangga ketujuh dan lima mata di belakang kelompok empat teratas, tekanan semakin memuncak buat ketua jurulatih dari Belanda itu.
United turut terperosok di tangga tercorot Kumpulan A Liga Juara-Juara dengan berbaki satu perlawanan dan sedar mereka mesti menundukkan Bayern Munich untuk berpeluang mara ke pusingan kalah mati.
Semuanya semakin tidak menjadi buat Ten Hag, dengan Sky Sports melaporkan corak pengurusan Ten Hag menyebabkannya kehilangan sokongan separuh daripada pemain dalam bilik persalinan di Old Trafford.
Mereka mendakwa pemain tidak gembira dengan corak permainan mereka, berasakan mereka berlatih ‘terlalu keras’ dan mereka berlari terlalu banyak dalam latihan – dengan sesetengah pemain senior ‘tidak pasti apa yang mereka lakukan.’
Mereka menambah pemain senior tertentu bercakap dengan Ten Hag mengenai apa yang berlaku – mengetengahkan pengalaman mereka di kelab terdahulu – dan berasakan corak pengurusannya boleh diperbaiki.
ESPN turut melaporkan beliau kini “bergelut untuk mengekalkan pemain utama menyebelahinya” menjelang beberapa minggu penting.
Laporan itu menyatakan ‘sekelompok pemain dalam skuad utama terlalu kecewa’ selepas kekalahan di tangan Newcastle.
sumber:- BH
Di sebalik beberapa pemain ‘kekal menyokong Ten Hag dan stafnya, wujud kebimbangan dalam kalangan kelab itu suasana dalam bilik persalinan akan menjadi lebih buruk.’ – AGENSI