Kerajaan negeri meletakkan harapan tinggi agar pemain Terengganu FC (TFC) tidak diusik dengan pelbagai gangguan bagi memastikan misi untuk membawa pulang trofi Piala Malaysia pada musim ini tercapai.
Ingatan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang menjelaskan pemain dan barisan kejurulatihan kini sudah bersedia 100 peratus untuk menghadapi tentangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.
Jelasnya, jika emosi dan fokus pemain terganggu, ianya boleh merencatkan misi berkenaan selepas kali terakhir dan pertama skuad Penyu merangkul kejuaraan piala berprestij itu pada 2001 bawah kendalian Mat Zan Mat Aris selepas menumpaskan Perak 2-1.
“Menjelang perlawanan akhir nanti, saya mengharapkan pemain lebih fokus dan mereka tidak diusik dengan pelbagai gangguan sama dalam mahupun di luar padang, lagipun kita tahu JDT adalah pasukan yang lengkap, mereka juga memiliki keupayaan dalam mengusik emosi lawan.
“Saya harap mereka kekal fokus sepanjang 90 minit dengan memberi tumpuan dalam perlawanan selain tidak terganggu emosi dalam dan luar padang kerana misi kita adalah untuk mencipta sejarah kali kedua menjuarai trofi itu pada kali ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kehadiran semula tiga tonggak pertahanan yang pulih daripada kecederaan sudah pasti memberikan lebih pilihan kepada jurulatih, Tomislav Steinbruckner menyenaraikan kesebelasan utamanya.
“Buat masa ini saya lihat barisan kejurulatihan sudah memberikan tumpuan penuh sebelum aksi berkenaan, lebih menggembirakan beberapa pemain yang cedera sudah kembali pulih.
“Cuma saya harap mereka dapat mencapai tahap kecergasan yang terbaik, lagipun tempoh perlawanan hanya berbaki kurang seminggu sahaja lagi,” katanya.
sumber:- BH
Terdahulu skuad Penyu mara ke pentas final selepas mengetepikan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir dengan agregat 4-2.