sukan

Hamidin perlu menghadap, berunding dengan TMJ

Hubungan baik antara Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mungkin akan mewujudkan sinar di hujung terowong untuk melihat Arif Aiman Hanapi bermain di Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23), April depan.

Pemerhati sukan negara, Mohd Sadek Mustaffa berkata, peluang itu mungkin susah sebab Piala Asia B-23 diadakan di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan JDT ada alasan cukup kuat untuk tidak melepaskan pemain mereka, apatah lagi saingan Liga Super musim 2024/2025 dijadual bermula pada bulan sama.

Jelasnya, jika Hamidin berjaya meyakinkan TMJ mengenai sebab utama Arif Aiman perlu ada dalam skuad kendalian Juan Torres Garrido, mungkin ada harapan untuk melihat pemain muda berusia 21 tahun itu di Piala Asia B-23 nanti.

“Kalau dalam kalendar Fifa kemungkinan akan dilepaskan tapi kalau tidak, pasukan JDT ada alasan tidak melepaskan Arif Aiman kecuali liga sudah tamat.

“Presiden FAM perlu datang (menghadap) bersama dengan jurulatih dan berunding dengan TMJ serta bentangkan apa yang nak dibuat sekiranya Arif Aiman diserapkan dalam skuad B-23.

“Mungkin boleh mempengaruhi TMJ lepas Arif Aiman, tetapi jika ia kurang meyakinkan mungkin itu satu yang sukar untuk lepaskan pemainnya. Saya rasa kalau bermain di Sukan Olimpik mungkin TMJ boleh lepas, tapi kalau kelayakan biasa rasanya tak lepas sebab bukan keutamaan kerana keutamaan untuk Arif Aiman boleh main Piala Asia 2024 (pasukan senior).

“Di situ tiket terbaik untuk jual (Arif Aiman) dan jika dia dapat tampil dengan prestasi cemerlang serta ada pasukan besar minat untuk dapatkannya, JDT boleh untung besar,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau berkata, mungkin pihak pengurusan B-23 memerlukan pemenang pemain paling bernilai itu kerana dia adalah senjata buat negara, tetapi jika tidak dapat, mereka harus ada strategi lain.

Skuad muda negara diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dalam kejohanan itu.

sumber:- HM

Untuk rekod, tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 itu akan meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung Julai depan manakala pasukan tempat keempat pula perlu melalui playoff menentang wakil Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) untuk merampas tiket ke Olimpik.