sukan

Aksi ketika ikat JDT perlu dipandang serius

Aksi luar biasa Kedah Darul Aman FC ketika menjaringkan tiga gol untuk mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu dipandang serius oleh barisan pemain Selangor FC menjelang aksi getir di Stadium Darul Aman, malam esok.

Menurut pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe, kejayaan Kedah mengikat juara 10 kali berturut-turut Liga Super 3-3 dengan menjaringkan tiga gol menunjukkan ujian sukar bakal ditempuhi anak didiknya di gelanggang keramat skuad Kenari itu.

Katanya, pemain Red Giants perlu berwaspada sepanjang aksi dengan misi memburu tiga mata penuh menjadi keutamaan.”Contoh terbaik kita lihat Kedah ketika mereka menentang JDT yang mana saya rasa ia adalah satu ‘benchmark’ di mana mereka mampu menjaringkan tiga gol menentang JDT.

“JDT ketika itu dalam prestasi terbaik tapi Kedah mampu menjaringkan tiga gol, jadi kita perlu lebih berwaspada dari minit pertama hingga ke wisel penamat,” katanya.

Pertembungan kedua-dua pasukan di ibarat umpama ‘final’ bagi menentukan naib juara Liga Super 2023, selepas JDT mengesahkan gelaran juara lebih awal.

Biarpun memiliki dua lagi baki aksi liga, Selangor berpotensi dinobatkan sebagai naib juara dengan kelebihan dua mata dimiliki ketika ini iaitu 55 mata berbanding Kedah dengan 53 mata.

Namun, jika Kedah yang dibimbing Nafuzi Zain menang, aksi terakhir liga menjadi penentu apabila skuad Kenari bertemu Sabah FC manakala Selangor menentang PDRM FC.

Ujar Cheng Hoe lagi, objektif pasukan adalah untuk beraksi di Asia pada musim depan dengan syarat perlu menamatkan saingan di tangga kedua.

sumber:- HM

“Ianya bukan tekanan untuk ke Asia sebaliknya satu cabaran kerana bukan mudah menghadapi musim yang panjang dan kami juga mahu tunjukkan peningkatan prestasi setiap pemain dalam pasukan,” katanya.