Bekas ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Datuk K Rajagobal berpandangan skuad Harimau Malaya berada di landasan tepat, selepas berjaya melakar dua kemenangan pada Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, baru-baru ini.
Beliau berkata ia satu petanda yang positif dalam perkembangan arena bola sepak masa kini, serta berharap pemain dapat meneruskan prestasi cemerlang mereka untuk pusingan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia selepas ini.
“Sebagai bekas jurulatih, kita nak lihat satu pertukaran dalam aspek bola sepak dan segi permainan. Saya fikir ini (kemenangan) menjadi satu inspirasi dan motivasi bagi pemain,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Kelab Diraja Selangor (RSC)-Datuk Chu Ah Nge.
Harimau Malaya berjaya melakar kemenangan ke atas Kyrgyzstan 4-3 pada 16 November dan Taiwan 1-0 pada 21 November lalu pada aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Dalam pada itu, Rajagobal juga tidak menafikan bahawa anak buah Kim Pan Gon dilihat lebih berkeyakinan, terutamanya selepas berpeluang berentap dengan pasukan yang mempunyai kekuatan dan ranking yang lebih tinggi.
“Kita lihat pasukan berbeza dan seronok lihat pemain bermain bersungguh-sungguh sehingga wisel penamat. Ia menunjukkan satu mentaliti dan komitmen yang baik…amat penting boleh nampak kepercayaan dan keyakinan mereka,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pembangunan bakat muda bola sepak, Rajagobal berkata semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dan tidak hanya bergantung kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semata-mata.
Beliau berkata penganjuran program pembangunan seperti kejohanan bola sepak remaja anjuran Kelab Diraja Selangor (RSC) itu perlu diperbanyakkan supaya dapat menjadi langkah permulaan mencungkil lebih banyak bakat muda dan seterusnya digilap ke peringkat yang lebih tinggi.
“Program atau pertandingan untuk peringkat remaja beri peluang jurulatih melihat potensi pemain masa depan. Jika seluruh Malaysia buat program sebegitu, ia akan jadi landasan untuk pemain muda tunjukkan bakat dan belajar sesuatu,” katanya.
sumber:- BH
Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Kelab Diraja Selangor (RSC)-Dato’ Chu Ah Nge edisi ke-17 itu adalah pertandingan bola sepak remaja yang membabitkan 80 pasukan dari enam negara iaitu Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia. – BERNAMA