“Perlawanan ini adalah ‘match of the year’ untuk tahun ini dan kami tak boleh sia-siakan.”
Itu laungan semangat pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe yang menyifatkan pertembungan antara Red Giants dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman umpama perlawanan paling penting buat skuad kendaliannya musim ini.
Jelas bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu, kemenangan ke atas Kedah bukan saja mengesahkan kedudukan selaku naib juara Liga Super musim ini, malah ia akan menjamin slot Selangor ke ‘Asia’ pada tahun depan.
Justeru katanya, barisan pemain digesa memberi sepenuh tumpuan dan fokus bagi memastikan tiket ke Piala AFC berada dalam genggaman.
“Bagi saya ini perlawanan paling utama kita untuk tahun ini dan kita memang perlukan kemenangan untuk memastikan kedudukan naib juara.
“Lebih daripada itu, kita mahu pasukan layak bermain mewakili negara di perlawanan peringkat AFC yang sememangnya menjadi buruan pasukan sebelum ini.
“Tetapi apa yang penting, pemain kena fokus dan jangan terlalu tertekan. Bermain seperti biasa dan mengikut apa yang sudah dirancang,” katanya
Menerusi laporan belakang akhbar ini hari ini, pertembungan Kedah dan Selangor di ibarat final bagi menentukan naib juara Liga Super 2023, selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan gelaran juara ke-10 berturut-turut.
Biarpun memiliki dua lagi baki aksi liga, jika Selangor memenangi aksi terbabit bakal menyaksikan mereka sah sebagai naib juara dengan kelebihan dua mata dimiliki ketika ini iaitu 55 mata berbanding Kedah dengan 53 mata.
Namun, jika Kedah yang dibimbing Nafuzi Zain menang, aksi terakhir liga menjadi penentu apabila skuad Kenari bertemu Sabah FC manakala Selangor menentang PDRM FC.
Ditanya mengenai barisan pemain, Cheng Hoe akui pasukannya berada dalam situasi terbaik dan mampu menurunkan barisan terkuat.
“Semua pemain dalam keadaan terbaik dan tiada pemain yang cedera. Pemain juga dilihat bersemangat dan kita berada dalam keadaan terbaik,” katanya.
sumber:- HM
Bagaimanapun, Cheng Hoe mengingatkan anak didiknya agar tidak memandang mudah kerana aksi di Alor Setar sering menghadirkan kesukaran, malah kepintaran Nafuzi menyusun taktikal ampuh juga boleh memerangkap pemainnya..