Sekalipun penentuan juara Liga Super sudah dinoktahkan, namun debaran Liga Malaysia (Liga M) belum berakhir apabila perebutan naib juara masih lagi diteruskan.
‘Tiket’ ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan akan menjadi milik naib juara Liga Super musim ini dan Selangor FC (SFC) berada di tangga kedua dengan 55 mata ketika saingan liga berbaki dua perlawanan lagi.
Selepas beberapa musim kempunan untuk menikmati saingan berkelas Asia, ‘The Red Giants’ kini tampak berada pada haluan yang tepat untuk beraksi di ACL2 yang sebelum ini dikenali sebagai Piala AFC.
Berdasarkan situasi semasa, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe ada peluang yang cerah untuk menamatkan saingan di tangga kedua meskipun hanya memiliki ‘margin’ dua mata ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di tangga ketiga.
Untuk aksi terakhir, SFC akan berdepan PDRM FC di laman sendiri sementara skuad bimbingan Nafuzi Zain akan mengharungi satu lagi aksi sukar berdepan Sabah FC di Stadium Likas.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus melihat pertembungan KDA FC berdepan SFC di Stadium Darul Aman, Sabtu ini akan menjadi ‘petanda’ buat pasukan yang bakal menjadi naib juara musim ini.
Namun Fauzi tetap mengganggap kelebihan berada di tangan ‘The Red Giants’ dan peluang ini seharusnya tidak disia-siakan anak buah Cheng Hoe bagi mengelak daripada ‘dipotong’ saat akhir’.
“Pertembungan ini akan jadi penentu tetapi SFC akan berusaha untuk mendapatkan mata. Cheng Hoe akan mencatur perancangan yang sesuai dan secara keseluruhan, SFC ada peluang yang lebih besar untuk menjadi naib juara.
“Semua faktor yang saya jangka memberi motivasi kepada mereka adalah antaranya kedudukan liga, perlawanan terakhir liga nanti, corak permainan yang lebih baik dan keinginan untuk beraksi di Asia.
“Selain itu, mereka ada pemain dengan kualiti yang baik, pemain yang ada pengaruh dan kemampuan individu yang mengubah perlawanan serta tidak berdepan isu dalaman.
“Sokongan semasa dan penyokong yang dinamik juga akan turut membantu perjalanan mereka ke Asia,” kata Fauzi.
Sebagai rekod, kali terakhir SFC bersaing di pentas Asia adalah pada Piala AFC 2016 yang menyaksikan perjalanan mereka tersekat di peringkat kumpulan selepas menamatkan saingan di belakang Ceres dan Tampines Rovers.
sumber:- BH
KDA FC pula baru beraksi di Piala AFC 2022 dan berjaya mara sehingga ke separuh akhir Zon ASEAN sebelum tumbang 1-2 di tangan wakil Indonesia, PSM Makassar.