Pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies menganggap Kawasaki Frontale memiliki kelebihan berbanding pasukannya kerana kelab Jepun itu mendapat perlawanan kompetitif dalam saingan Liga 1 Jepun (Liga J1) secara berterusan setiap minggu.
Davies menambah, kelebihan skuad kendalian Toru Oniki yang beraksi dalam permainan berintensiti tinggi memberi ruang buat pasukan itu membuat persiapan rapi bagi mengharungi cabaran di Liga Juara-Juara AFC (ACL).
“Kami gembira dan tidak sabar untuk beraksi esok kerana ini adalah kali keempat kami bertemu Kawasaki dalam dua tahun dan seakan sudah mengetahui mengenai mereka dengan baik.
“Semua tahu mereka adalah lawan yang kuat dan kami tidak akan mengambil mudah kerana tahu ia satu perlawanan yang sukar dan seperti yang dikatakan jurulatih, ia aksi yang penting ibarat perlawanan akhir.
“Namun begitu, kami hadir ke sini untuk berikan segalanya dan cuba membawa balik keputusan positif dari sini,” katanya pada sidang media sebelum perlawanan Kumpulan I yang akan berlangsung di Stadium Todokori, petang esok.
Davies yang baharu selesai tugasan bersama skuad kebangsaan, yakin mereka sudah mendapat rehat yang cukup dan bersedia menggalas satu lagi cabaran dalam misi hidup mati di ACL musim ini.
“Ianya sedikit sukar buat kami kerana tahap Liga Malaysia (Liga M) tidak sama dengan Liga Juara-Juara AFC. Kami tidak mempunyai perlawanan intensiti tinggi setiap minggu berbanding Kawasaki yang mempunyai kelebihan bermain di Liga J1.
sumber:- BH
“Itu sedikit menyukarkan kami untuk menukar ‘mode’ dari Liga M ke saingan ACL tetapi kami yakin kami mempunyai kualiti untuk bersaing seperti yang kami tunjukkan sebelum ini,” jelasnya.