sukan

Kim Pan-gon bidas dakwaan media Taiwan

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menegaskan kehadiran pemain warisan dan naturalisasi dalam sesebuah pasukan tidak seharusnya dijadikan isu.

Ia selepas perkara tersebut dibangkitkan media Taiwan dalam sidang akhbar selepas perlawanan ketika pasukan negara mereka tewas 0-1 kepada Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taiwan pada Selasa.

Mereka mendakwa Harimau Malaya menggunakan ramai pemain luar negara dan tidak menurunkan pemain tempatan dalam perlawanan tersebut.

“Kami mempunyai ramai pemain warisan. Pemain warisan ini bukan pemain luar negara mereka warganegara Malaysia. Kami juga mempunyai beberapa pemain naturalisasi dan bukan mudah untuk mereka membuat keputusan menukar pasport Malaysia.

“Anda boleh lihat Perancis, mereka tidak ada pemain tempatan dalam pasukan. Ini adalah perkara biasa di setiap negara. Mereka akan mencari pemain warisan untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan mereka.

“Pemain juga membuktikan dalam liga kesetiaan, komitmen dan keupayaan kepada umum sebelum dipilih mewakili negara. Orang tidak sepatutnya mempertikaikan dan perlu menikmati bola sepak,” katanya.

Skuad Harimau Malaya meneruskan momentum cemerlang apabila berjaya memungut tiga mata ketika menewaskan Taiwan untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan D selepas dua perlawanan.

Sebelum ini, skuad kendalian Pan-gon itu berjaya mengejutkan Kyrgyzstan 4-3 dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil Khamis lalu.

sumber:- SH

Aksi kelayakan itu akan bersambung semula tahun depan dengan skuad negara dijadualkan berdepan Oman pada aksi ketiga pada 21 Mac.