sukan

Naturalisasi Taiwan ‘igauan’ buat Malaysia

Jika Malaysia ada bintang ‘import’, Endrick Dos Santos dan Paulo Josue, Taiwan juga memiliki tonggak naturalisasi mereka iaitu Ange Samuel Kouame.

Kouame yang berasal dari Ivory Coast baru sahaja mendapat status kerakyatan Taiwan pada Ogos lalu dengan dia juga dilaporkan berkahwin dengan rakyat negara itu.

Penyerang yang beraksi bersama Tainan City dalam Liga Perdana Taiwan itu menjadi pemain naturalisasi kedua skuad Blue Wings.

Kouame membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan Taiwan pada 8 September lalu dalam aksi persahabatan menentang Filipina dengan perlawanan itu berkesudahan seri 1-1.

Dia bagaimanapun meledak gol sulung bersama Taiwan empat hari kemudian ketika skuad kendalian Gary White itu tewas 1-3 kepada Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bishan.

Pemain berusia 27 tahun itu kemudian menjadi watak penting dalam dua aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Timor Leste bulan lalu.

Dia menyumbang satu gol dan membantu tiga jaringan lain dalam kedua-dua aksi itu yang menyaksikan Taiwan menang 4-0 dan 3-0 untuk melangkah ke pusingan kedua kelayakan.

Menyarung jersi nombor 10 Taiwan, Kouame turut beraksi ketika pasukan itu tewas 0-3 kepada Oman dalam aksi pertama Kumpulan D, Khamis lalu dengan dia dikeluarkan pada minit ke-73.

Selain itu, Kouame memiliki pencapaian yang baik di Liga Perdana Taiwan apabila memenangi anugerah penjaring terbanyak pada 2020 selain diangkat sebagai pemain terbaik tahun lalu.

Malah, dia pernah memenangi kejuaraan Liga Perdana Taiwan bersama Tatung FC pada 2018 dan 2019 sebelum meraih pencapaian sama pada 2021 dan 2022 bersama Tainan City.

Berdasarkan profil yang dimiliki, Kouame mungkin diberikan peranan besar untuk merobek gawang Harimau Malaya dalam perlawanan di Stadium Perbandaran Taiwan, malam esok.

sumber:- BH

Justeru, bekas penyerang Tatung FC itu seharusnya menjadi antara pemain yang harus dirantai Harimau Malaya sekiranya tidak mahu impian untuk meneruskan rentak kemenangan musnah.