sukan

Enggan insiden Kuantan berulang

Sekalipun kempunan selepas dua jaringan awalnya berjaya dipadam Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super, ‘arkitek’ Terengganu FC (TFC), Omid Nazari tetap lega.

Ini kerana pasukannya sekurang-kurangnya berjaya mencuri satu mata di gelanggang keramat lawan ketika skuadnya dibarisi ‘barisan kedua’.

Pada perlawanan ke-23 saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Ahad lalu, skuad Penyu bimbingan Tomislav Steinbruckner terlebih dahulu mendahului 2-0 menerusi dua jaringan Nazari pada setiap babak.

Bagaimanapun berbaki 12 minit terakhir, skuad Tok Gajah kendalian legenda Singapura, Fandi Ahmad bangkit meledak dua gol menerusi Rafael Silva dan Sergio Aguero sekali gus menyaksikan skuad Penyu gagal mengutip tiga mata.

“Kami beraksi dengan baik bermula pada awal babak pertama lagi sehingga lawan sukar bergerak bebas dan kami berjaya mendahului tuan rumah dengan dua jaringan.

“Namun pada penghujung babak kedua, kami terpaksa akur selepas lawan berjaya menyamakan kedudukan, sekiranya kita berjaya memanfaatkan banyak peluang terhidang dalam perlawanan itu, keputusan pastinya berubah.

“Bagaimanapun saya tidak mahu menyalahkan rakan sepasukan biarpun dua gol saya gagal memberikan tiga mata, dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku, satu mata sudah memadai daripada tiada langsung.

“Pesanan saya untuk aksi menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 3 November ini di tempat sendiri, saya mengharapkan skrip sama tidak berulang bagi memastikan misi ke final menjadi kenyataan selepas terkandas di separuh akhir Piala FA kepada lawan sama musim ini,” katanya ketika dihubungi.

sumber:- BH

Pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, TFC berjaya merakam kemenangan 2-1.