Manchester United adalah pasukan yang ‘tiada harapan’, kata Arsene Wenger selepas The Red Devils dibenam 0-3 oleh seteru tradisi Manchester City pada pertembungan tetangga Manchester, semalam.
Erling Haaland meledak dua gol untuk juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebelum membantu jaringan Phil Foden bagi gol ketiga untuk kemenangan bergaya di Old Trafford.
Meskipun United tampak beraksi dengan baik pada babak pertama menerusi beberapa peluang yang gagal disudahkan, skuad bimbingan Erik ten Hag itu tumbang pada babak kedua selepas bergelut mengatasi penguasaan City.
Wenger yang juga bekas pengurus Arsenal jelas kasihan melihat nasib United dan menyifatkan ‘tiada lagi harapan buat pasukan itu.’
“Saya boleh katakan yang jurang kedua-dua pasukan semakin besar ketika perlawanan terus berlangsung,” kata Wenger kepada beIN Sports.
“Sebagai pasukan besar seperti United, anda akan kasihan kerana tiada harapan buat mereka.
“Saya tidak nampak bagaimana mereka boleh bertambah baik. Mereka sudah hilang keyakinan, kualiti dan juga semangat pada hari ini (semalam).
“Saya boleh katakan mereka tidak ada semangat juang.”
sumber:-BH
Kekalahan itu menyaksikan United tergelincir ke tangga kelapan liga, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Tottenham dan lapan mata daripada kelompok empat teratas liga. -AGENSI