Dalam apa yang dilihat sebagai musim bermasalah buat Manchester United, pengurus Erik ten Hag berkata kekalahan 3-0 di tangan jiran tetangga Manchester City di Old Trafford awal pagi tadi adalah satu daripada hari paling mengecewakannya bersama pasukan itu.
Ditanya sama ada semalam adalah hari terburuknya memegang jawatan itu, pengurus itu memberitahu wartawan: “Ya. Sudah tentu ia amat mengecewakan.
“Apabila anda tumpas perlawanan jiran setempat sebagaimana kami kalah, ia mengecewakan. Babak pertama kami mempunyai perancangan perlawanan yang amat bagus dan gerakan juga amat baik dan kemudian penalti mengubah keadaan itu.”
Pencetak gol City, Erling Haaland menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26 bagi gol pertamanya daripada dua gol, manakala Phil Foden menambah gol ketiga pelawat pada minit ke-80, menyebabkan sesetengah penyokong United yang kecewa pulang awal.
United mengalami permulaan menyedihkan musim ini tetapi ada tanda-tanda kebangkitan mereka selepas menang 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara ke atas Copenhagen Selasa lalu, kemenangan ketiga berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.
Namun jurang antara dua pasukan Manchester itu terserlah awal pagi tadi ketika City mendominasi di segenap penjuru padang pada babak kedua.
Ditanya jika United, yang kini menghuni tangga kelapan selepas 10 perlawanan, menuju ke arah kehancuran, Ten Hag membalas babak pertama sengit sebelum penalti dan merujuk kepada percubaan Scott McTominay sejurus sebelum rehat yang ditumbuk melepasi palang oleh penjaga gol Ederson.
Kekalahan United merupakan kali ketiga mereka ditewaskan tiga gol atau lebih oleh City pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di laman sendiri.
sumber:- BH
Ia juga kemenangan ketujuh City di Old Trafford di bawah kendalian pengurus Pep Guardiola, yang mana pemainnya berjaya mengubah stadium bersejarah itu seperti gelanggang permainan mereka sendiri sekali gus menceriakan penyokong pelawat yang tidak henti-henti menyanyi. – REUTERS