sukan

Yusri dedah pemain Kelantan faktor Perak menang besar

Kejayaan melakar kemenangan bergaya 8-0 ke atas Kelantan FC bukan hanya kerana usaha keras pemain Perak FC, sebaliknya ia turut ‘dibantu’ oleh barisan pemain The Red Warriors.

Pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah melihat pemain Kelantan FC yang rata-ratanya dibarisi pemain bawah 23 tahun (B-23) memberikan terlalu banyak ruang sekali gus memudahkan Perak FC ‘membuat’ kerja dan mencetak gol demi gol.

“Mungkin juga disebabkan mereka (Kelantan FC) tidak ada keinginan untuk beraksi tetapi dari kaca mata saya, saya lihat pemain mengikut apa yang mahu kita lakukan.

“Pemain tahu tanggungjawab mereka dan cara permainan yang sebaiknya. Cuma kita tidak boleh terbuai terlalu lama kerana kita ada lima hari lagi sebelum perlawanan seterusnya,” kata Yusri.

Terdahulu, kemenangan 8-0 ke atas Kelantan FC yang juga pasukan tercorot Liga Super di Stadium Perak itu menyaksikan mereka merakam kemenangan terbesar pada musim ini.

Lima gol berjaya dijaringkan anak buah Yusri dalam 45 minit pertama sebelum mereka melengkapkan masa penuh dengan tambahan tiga lagi gol pada babak kedua.

Mengulas lanjut aksi terbabit, Yusri mengakui dia agak tertekan dengan persembahan anak buahnya pada awal permainan yang dilihat terlalu ghairah memburu jaringan sekali gus menghadirkan risiko untuk dihukum lawan.

“Jaringan awal itu bagaimanapun sedikit sebanyak membuat kita lega kerana selalunya kita akan ditimpa musibah kalau kita tidak berhati-hati.

sumber:- BH

“Pemain memberikan komitmen yang cukup baik dan tidak memandang mudah kerana walaupun sudah mendahului dengan lima gol, mereka terus cuba untuk dapatkan gol pada babak kedua,” katanya.