sukan

Satu lagi pasukan jadi mangsa PDRM

KL City FC terus buntu meraih sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir apabila kali ini tewas 0-2 di tangan PDRM FC pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Meskipun menguasai sebahagian besar permainan namun anak buah Nenad Bacina gagal mengatasi kemantapan benteng ‘The Cops’ yang menghukum mereka dengan dua gol pada babak kedua.

Kemenangan ini pasti memberi tonik buat PDRM FC yang bakal turun menentang Penang FC bagi aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran dengan mereka berkelebihan 2-1 secara agregat.

KL City FC pula jelas perlu bekerja lebih keras menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Terengganu FC (TFC) yang menyaksikan mereka ketinggalan 1-2.

Pada aksi terbabit, KL City FC tidak mendapat banyak ruang daripada PDRM FC yang begitu berdisiplin dan penjaga gol PDRM FC, Mohamad Ramdhan Ab Hamid cemerlang menepis rembatan deras Tchetche Kipre pada minit ke-20.

Kipre sekali lagi dikecewakan Ramdhan apabila tandukannya yang menyambut hantaran lintang Zhafri Yahya diselamatkan Ramdhan pada minit ke-36 sebelum tampanan Paulo Josue terkena tiang pada minit ke-44.

Pelawat membuka tirai masa kedua dengan garang namun percubaan leret Kipre mudah diselamatkan Ramdhan pada minit ke-46 disusuli tandukan Josue yang melambung tinggi pada minit ke-58.

Bagaimanapun dua minit berselang, tuan rumah membuatkan KL City FC terpana apabila mereka yang lebih banyak bertahan berjaya merobek gawang lawan menerusi penyudah Marcus Macauley.

sumber:- BH

PDRM FC terus menambah luka KL City FC apabila melebarkan jurang pada minit ke-74, kali ini hasil rembatan deras Fadi Awad yang menyambut bola muntah hasil tepisan Kevin Ray Mendoza