Aksi serba tidak menjadi yang diperagakan pemain Terengganu FC (TFC) menjadi faktor utama skuad itu gagal mengutip mata penuh menentang kelab Filipina, Stallion Laguna FC pada aksi Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), semalam.
Ia diakui ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner yang jelas kecewa dengan persembahan anak buahnya biarpun beraksi di depan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Bagaimanapun faktor cuaca yang panas ketika awal permainan bermula pada jam 4 petang kemungkinan menjadi faktor anak buah jurulatih kelahiran Croatia itu ‘lambat panas’ sebelum kembali ‘mengaum’ pada babak kedua perlawanan.
Pada perlawanan yang berkesudahan 2-2 itu, skuad Penyu terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan seawal minit keenam oleh Griffin McDaniel dan Ngong Stephen pada minit ke-40 untuk mendahului 2-0.
Bagaimanapun pada penghujung babak pertama, TFC berjaya merapatkan kedudukan menerusi Sony Norde manakala gol penyamaan sekali lagi hadir pada penghujung babak kedua menerusi penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.
“Saya tidak mahu menyembunyikan corak permainan anak buah pada petang ini (semalam), mereka tidak beraksi seperti biasa, banyak kesilapan teknikal termasuk kesalahan ketika membuat hantaran selain tanpa pergerakan yang cukup untuk mencipta gerakan bahaya.
“Tambah merisaukan saya ketika itu kesilapan yang dilakukan penjaga gol, Suhaimi Husin yang melepaskan gol pertama lawan seawal minit keenam, saya mahukan corak permainan lebih agresif pada awal, namun yang berlaku adalah sebaliknya.
“Sejujurnya sudah tentu saya tidak berpuas hati dengan corak permainan mereka, saya boleh rumuskan aksi pemain serba tidak menjadi, mungkin faktor cuaca pada sebelah petang yang panas menjejaskan corak permainan mereka,” kata jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu.
Bagaimanapun ada juga nada gembira diluahkan bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu terutama selepas anak buahnya bangkit melawan tanpa mengenal erti putus asa sebelum berjaya meledak dua gol selepas ketinggalan dengan dua jaringan.
“Apa yang menggembirakan saya pada perlawanan itu kami dapat mengutip satu mata pada saat akhir selepas ketinggalan dengan dua gol walaupun harapan menggunung semua peminat mahukan kemenangan terutama beraksi di tempat sendiri.
sumber:- BH
“Lebih menggembirakan pada babak kedua banyak peluang dapat dicipta berbanding babak pertama, malah pemain beraksi bermati-matian untuk melakar kemenangan, tahniah kepada mereka, namun gagal diterjemahkan dengan jaringan, tapi inilah bola sepak,” katanya.