sukan

Luahan pengendali JDT selepas dikecewakan Ulsan

“Kekalahan yang memberi pengajaran bermakna buat kami.” Begitu luahan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari selepas skuadnya tewas 1-3 kepada kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Bolasepak Munsu, semalam.

Menurut Solari, barisan pemainnya hilang punca selepas dibolosi gol awal oleh Ulsan Hyundai menerusi gerakan ‘set piece’ di awal babak pertama yang menjejaskan konsentrasi pemain JDT dan disusuli dua jaringan pasukan lawan dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan.

Tambahnya, pada babak kedua, JDT mampu mengimbangi corak permainan skuad kendalian Hong Myung-bo tetapi Harimau Selatan terpaksa akur dengan kekalahan.

“Satu perlawanan sukar. Malah dalam tempoh 20 minit babak pertama kami dihukum dengan gol pertama hasil ‘set pieces’ pasukan lawan dan ia menjejaskan konsentrasi dan disusuli dua lagi gol ketika penjaga gol kami (Ahmad Syihan Hazmi) tidak menyentuh bola sebaik perlawanan bermula.

“Namun selepas itu, kami mula mengimbangi perlawanan itu dan mula mencipta peluang pada babak kedua. Kami dapat jaringkan gol pada minit ke-53 tapi tidak dapat menambah jaringan dan akur dengan kekalahan.”

“Kami terus bermain dengan lebih agresif di babak kedua dan kami perlu belajar dalam semua perkara menerusi perlawanan itu malah ia beri pengajaran buat kami untuk berusaha bangkit dalam perlawanan akan datang,” katanya lagi.

sumber:- HM

Pada perlawanan itu, walaupun Bergson Da Silva berjaya merobek gawang Ulsan Hyundai pada minit ke-53 tapi terpaksa pasrah dengan gol awal Ulsan Hyundai yang dijaringkan Jung Seung-hyun pada minit kelima dan dua gol menerusi Gustav Ludwigson pada minit ke-12 dan ke-18.