sukan

Pemilik pasukan bola sepak seolah-olah buang duit- TMJ

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan jurang pasukan Liga Kejuaraan atau Liga M3 masih jauh dengan Liga Super.

Beliau berkata, sebahagian pasukan Liga Super juga bergelut untuk bertahan dalam saingan utama itu apabila terpaksa mendapatkan dana yang besar bagi menguruskan pasukan.

Kenyataan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu seakan memberi bayangan bahawa pasukan dari Liga Kejuaraan harus meneliti secara terperinci jika mahu beraksi di Liga Super.

“Jurang Liga M3 masih jauh lagi, mana-mana pasukan bermain di Liga Super tidak mudah melainkan ada syarikat korporat atau individu yang mahu menaja.

“Bagi saya sebagai pemilik, letak duit dalam pasukan bola sepak di dalam negara kita ini seolah-olah buang duit kerana hasil pendapatan sangat kurang.

“Ini kerana beberapa faktor termasuk mentaliti penyokong. Sekali sekala datang stadium, ada lagi yang masih beli barang tak original.

“Selagi mentaliti itu ada, tiada pasukan dapat bertahan dengan begitu stabil melainkan pasukan itu dapat tajaan daripada kerajaan,” katanya dalam program Nindia Bola terbitan sebuah stesen televisyen swasta.

Semalam, BH Sukan melaporkan Imigresen FC yang layak secara merit ke Liga Super musim depan selepas muncul juara Liga Kejuaraan sedang memikirkan secara mendalam sama ada mahu menyertai siangan utama itu atau tidak.

sumber:- BH

Pengurus pasukan Imigresen FC, Mohd Iqmal Hakimie Abdullah berkata bahawa pihaknya menunggu mandat daripada pengurusan tertinggi berhubung perkara itu selain pada masa yang sama meneliti apa yang mereka perlu sediakan untuk ke Liga Super.