sukan

Dua kemenangan bukan jaminan buat JDT di ACL

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari, mengakui dua kemenangan ke atas Ulsan Hyundai musim lalu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bukan jaminan buat skuad Harimau Selatan untuk pulang dengan tiga mata penuh dari bumi Korea.

Sebaliknya, pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan pertemuan esok adalah aksi berbeza, apatah lagi pasukannya berkunjung ke tempat lawan berbanding beraksi di tempat sendiri sebelum ini.

Jdt mencetus sensasi dalam kempen ACL musim lalu apabila menewaskan Ulsan dua kali dengan keputusan sama 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang perlawanan yang diadakan secara karnival di Malaysia.

Menariknya, kemenangan kedua yang diraih ke atas Ulsan ketika itu memastikan kemaraan Harimau Selatan ke peringkat kalah mati sebelum disingkirkan kelab Jepun, Urawa Reds.

Berentap untuk aksi Kumpulan I, Solari yang berdepan musim pertamanya dalam saingan ACL bagaimanapun mengakui anak buahnya berdepan ranjau berliku kali ini.

“Saya difahamkan Ulsan membawa masuk beberapa pemain muka baharu dan pastinya mereka akan tampil dengan corak permainan berbeza.

“Bagi saingan ACL, kami membuat persiapan sejak 10 bulan lalu termasuk aksi menentang kelab dari Korea Selatan.
“Jadi, kami bersedia berdepan Ulsan dengan membuat persiapan serius secara psikologi serta fizikal dan pemain tampak tidak berdepan masalah untuk beraksi.

sumber:- SA

“Tidak dinafikan Ulsan dibarisi pemain berkualiti dan ia bakal menjanjikan aksi berintensiti tinggi, sekali gus peluang terbaik kami beraksi dengan kualiti permainan terbaik bagi mengimbangi kekuatan lawan,” katanya.