Segera lakukan siasatan

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon perlu melakukan bedah siasat mengenai prestasi Harimau Malaya dalam dua aksi ketika Pestabola Merdeka 2023 sebelum ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan pihaknya menyerahkan kepada pengendali dari Korea Selatan itu untuk membuat bedah siasat mengenai persembahan keseluruhan Harimau Malaya dalam kejohanan terbabit.

“Belum lagi (buat bedah siasat prestasi Harimau Malaya dalam Pestabola Merdeka), itu kita serahkan kepada Kim Pan Gon,” kata Noor Azman.

Bedah siasat mengenai persembahan Harimau Malaya terutama ketika tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam aksi final, Selasa lalu harus dilakukan dalam usaha untuk memperbaiki kelemahan pasukan negara.

Perkara itu penting kerana skuad Pan Gon bakal berdepan kejohanan lebih besar selepas ini dengan ujian paling dekat adalah aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan, 16 November ini.

Selain kempen kelayakan itu, Harimau Malaya juga hanya memiliki tempoh tidak sampai tiga bulan untuk menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Skuad negara memperagakan aksi terbaik apabila mengalahkan pasukan ranking 102 dunia, India 4-2 dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2023, namun persembahan kurang menjadi ketika berdepan Tajikistan menyaksikan Harimau Malaya terpaksa akur terlepas gelaran juara.

sumber:- BH

Ia kekalahan kedua yang dihadapi Harimau Malaya sepanjang tahun ini selepas tewas 0-3 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF di gelanggang lawan, Januari lalu.