Kali terakhir skuad bola sepak kebangsaan menjulang trofi adalah 13 tahun lalu apabila menjuarai Piala AFF di bawah kendalian Datuk K Rajagobal, namun sejak itu skuad Harimau Malaya ‘suram’ tanpa sebarang kejuaraan.
Meskipun beberapa kali beraksi di Piala AFF dan beberapa kejohanan persahabatan, skuad kebangsaan gagal menambah trofi baharu di dalam kabinet mereka dan peluang terbaik hadir pada tahun lalu menerusi saingan Piala Raja Thai.
Namun sayangnya, skuad kebangsaan di bawah bimbingan Kim Pan Gon kempunan apabila dikecewakan Tajikistan menerusi penentuan sepakan penalti 0-3 pada aksi final selepas terikat tanpa jaringan.
Malam ini, dua pasukan itu sekali lagi bertembung, kali ini di final Pestabola Merdeka yang secara tidak langsung memberi satu lagi peluang untuk Pan Gon ‘memburu’ trofi sulungnya bersama Malaysia.
Malaysia yang menduduki ranking ke-134 dunia berada dalam rentak yang baik apabila tidak tewas dalam tujuh aksi terakhir dan motivasi pemain ‘memuncak’ susulan kejayaan mengikat Syria 2-2 dan China 1-1 pada aksi persahabatan sebelum ini selain kejayaan 4-2 ke atas India, Jumaat lalu.
Prestasi Tajikistan yang menduduki ranking ke-110 dunia pula sepanjang tahun ini tidak memuaskan apabila mereka hanya menang satu daripada enam perlawanan iaitu kemenangan 2-0 ke atas Singapura selain tewas 1-5 di tangan Uzbekistan dan 1-2 di tangan Kuwait.
Berdasarkan situasi semasa, Malaysia tampak lebih ‘berat’ untuk menjulang Pestabola Merdeka sekali gus menamatkan penantian 13 tahun untuk menjulang trofi.
Malaysia tampil selaku pilihan dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, momentum yang terbaik dan Tajikistan membariskan skuad termuda mereka kali ini.
Semuanya bagaikan sudah ‘tertulis di bintang’ dan sudah pasti ia menjadi satu pencapaian yang ikonik jika Pestabola Merdeka yang penuh bersejarah itu menamatkan penantian kejuaraan Harimau Malaya dan menjadi trofi sulung buat Pan Gon.
Apapun, Harimau Malaya perlu berwaspada agar tidak mengikut jejak langkah Thailand seperti pada Piala Raja Thai tahun lalu apabila selaku penganjur, mereka menyaksikan trofi kebanggaan mereka menjadi milik pasukan lain.
Selaku penganjur Pestabola Merdeka, pemain harus berjuang demi lencana di dada bagi memastikan trofi itu menjadi milik negara, malam ini.
sumber:- BH
Malah, ini peluang terbaik buat Pan Gon ‘menyempurnakan’ transformasi yang sudah dicetuskannya buat skuad kebangsaan dengan mengucup trofi sulungnya bersama Malaysia.