Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menamatkan kemarau kejuaraan di kejohanan Jelajah Dunia selepas menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong di pentas final Terbuka Arctic di Vantaa, Finland, sebentar tadi.
Kemenangan 21-14, 21-15 di Arena Vantaa Energia itu membuktikan Zii Jia masih mempunyai ‘bisa’ selepas kali terakhir menewaskan lawan dari China, Li Shi Feng 17-21, 21-11, 23-21 untuk meraih gelaran di Terbuka Thailand pada Mei tahun lalu.
Zii Jia yang menghuni ke-14 dunia mengasak dari set pertama menerusi pukulan smash padu untuk mencatat kemenangan 21-14 sebelum pemain berusia 25 tahun itu meneruskan momentum mendahului perlawanan di set kedua.
Tze Yong ketinggalan sehingga 0-4 sebelum mengutip mata pertamanya di set kedua namun Zii Jia nyata lawan yang sukar buat pemain di ranking ke-19 dunia itu apabila rakan senegaranya terus meninggalkan jauh kedudukan.
Mata kedua Tze Yong hadir ketika kedudukan 1-8 dan pemain berusia 23 tahun itu terus berusaha merapatkan jurang kedudukan sehingga 10-15.
Tze Jia begitupun terus menggunakan pengalamannya untuk memungut mata selepas itu sebelum memuktamadkan kemenangan straight set 21-14, 21-15 dalam tempoh 40 minit.
Ia adalah pertemuan kedua antara mereka selepas kali pertama dimenangi Zii Jia di suku akhir Terbuka Australia, Ogos lalu.
Untuk rekod, kali terakhir pertemuan final dibarisi pemain Malaysia di peringkat Jelajah Dunia adalah tujuh tahun lalu yang menyaksikan aksi antara Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain di Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters 2016.
sumber:- BH
Pemenang membawa pulang US$31,500 (RM149,000) selain 9,200 mata ranking dunia.