Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Zhejiang Professional FC 2-1 pada perlawanan separuh akhir bawah 12 (B-12) tahun saingan Piala Supermokh 2023 di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, hari ini.
Pemain Orang Asli, Saap Baharom menjadi pemusnah menerusi dua gol dihasilkan pada minit ke-30 dan 58, jaringan tunggal lawan menerusi, Guo Rundong pada minit ke-58.
Jurulatih JDT B-12, Hafiz Zainal berkata, persembahan bertenaga dipamer barisan pemain menjadi kelebihan yang meletakan JDT sebagai pemenang pada perlawanan separuh akhir hari ini.
Katanya, tentangan sengit yang diberikan pasukan lawan berjaya dipatahkan benteng pertahanan dan penjaga gol, Muhammad Ibad Thaqif Mohd Nazri.
Hanya sedikit kelekaan dipenghujung babak kedua membolehkan lawan menghasilkan jaringan tunggal.Menurutnya, episod cemerlang dipamerkan penyerang lincah, Saap sepanjang kejohanan kali ini terus diterjemahkan dengan dua gol yang membolehkan JDT melangkah ke perlawanan akhir pagi esok.
“Kesungguhan pemain untuk mencatat kemenangan menjadi faktor kejayaan yang membolehkan JDT menewaskan lawan pada saingan separuh akhir hari ini yang disulami dengan keupayaan penyerang Saap menghasilkan dua jaringan.
“Walaupun hanya mencatat kemenangan tipis 2-1 namun saya amat berpuas hati apabila kita layak beraksi dipentas akhir esok berhadapan dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A,” katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, separuh akhir kedua bawah 12 tahun menyaksikan NFDP A tidak berhadapan masalah untuk menewaskan NFDP B 3-1.
Gol NFDP A disumbangkan oleh Anas Suffiyan Mohd Arif pada minit ke-15, Muhammad Amysyar Idrakie Khairil Anuar (m-18) dan Khairil Akmal Khairul Nizam (m-49).
sumber:- HM
Gol tunggal lawan jaringan Muhammad Iman Luthfi Zairul Hisham (m-9).