sukan

Tiada lagi insiden memalukan Malaysia

Peminat bola sepak Malaysia mungkin tidak akan melihat lagi insiden menggunakan penyodok sampah atau kadbod bagi menolak air di atas padang apabila hujan lebat di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ia selepas gelanggang keramat Harimau Malaya itu sudah dinaik taraf dengan penukaran rumput jenis Zeon Zoysia dan juga sistem perparitan baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berpuas hati dengan kualiti padang baharu stadium berkenaan.

Seterusnya, Hannah menyerahkan kepada pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon dan barisan pemainnya untuk memberi maklum balas terhadap kualiti padang baharu di gelangang keramat Harimau Malaya itu.

“Sumbangan dan kurniaan Tunku Ismail adalah untuk rumput tetapi kerja naik taraf infrastruktur diselesaikan oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

“Tunku Ismail puas hati dan beri cadangan mengenai penyelenggaraan padang. Jadi kita harap esok dapat maklum balas daripada Pan Gon dan pasukan kerana mereka yang akan guna.

“Betul (tiada lagi takungan air), seperti yang anda saksikan dalam video. Sebelum mereka tanam rumput, ada proses penggalian dan kos itu agak tinggi untuk kita selesaikan masalah.

“Semalam pun hujan, pihak PSM memantau pastikan tiada masalah ini. Kalau bagi saya, (nampak) hijau memang cantik tetapi pemain bola sepak ada komen masing-masing,” katanya.

Hannah berkata demikian selepas majlis perasmian padang baharu Stadium Nasional yang disempurnakan oleh Tunku Ismail, hari ini.

Skuad Harimau Malaya pula akan merasmikan padang baharu Stadium Nasional apabila turut berdepan India dalam aksi sulung Pestabola Merdeka 2023, malam esok.

Selain penukaran rumput, PSM turut melakukan naik taraf terhadap aspek lain di stadium berkenaan termasuk sistem perparitan dan kemudahan seperti bilik persalinan, tempat solat dan tandas.

Peroses penukaran rumput disumbang oleh TMJ dan dalam masa sama Hannah menjelaskan kos lain untuk kerja naik taraf stadium yang ditanggung PSM adalah berjumlah RM4.7 juta.

sumber:- BH

Ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu, gelanggang rasmi Harimau Malaya itu menjadi bahan jenaka dalam kalangan peminat tempatan apabila ada petugas dirakam menggunakan penyodok sampah untuk mengeluarkan air bertakung dalam padang.