sukan

Malaysia hilang tonggak gara-gara denggi

Harimau Malaya harus berwaspada dengan corak permainan agresif India pada aksi sulung Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Perkara itu disuarakan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon yang menyifatkan India memiliki pasukan yang kuat dan bermain dengan corak permainan agresif.

Pengendali dari Korea Selatan itu bagaimanapun menjelaskan barisan pemainnya sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan skuad The Blue Tigers berdasarkan apa yang dipamerkan sepanjang latihan sejak minggu lalu.

“Apa yang kami sudah lakukan beberapa hari lalu dalam latihan, pasukan menunjukkan perkembangan yang bagus. Saya berpuas hati dengan penerimaan pemain terhadap taktikal dan perancangan permainan kami.

“Malah, pemain juga teruja dan penuh yakin untuk menghadapi perlawanan esok. Namun, semua tahu India berada di ranking lebih baik dengan mereka sangat agresif dan bekerja keras.

“Ia akan menjadi perlawanan yang bagus dan saya menjangkakan pasukan India lebih kuat dari kami. Jadi kami perlu tampil lebih mantap dengan memberi fokus dari minit pertama hingga 90 minit,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Harimau Malaya mengimpikan untuk melangkah ke final dan menjulang trofi Pestabola Merdeka selepas kali terakhir menjuarai kejohanan itu pada 2013.

Malah, anak buah Pan Gon juga perlu memastikan kemenangan ke atas India bagi mengelak hanya beraksi satu perlawanan susulan penarikan diri Palestin pada saat akhir yang menyaksikan Tajikistan mendapat ‘bye’ aksi pertama dan terus ke final.

Selain itu, pemain naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue tidak akan bersama pasukan dalam perlawanan berdepan India kerana mengalami demam denggi.

sumber:- BH

Pan Gon bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila seorang lagi pemain tengah, Stuart Wilkin yang sebelum ini mengalami kecederaan sudah pulih dan bersedia untuk perlawanan esok.