Penyokong Harimau Malaya akan merasai pengalaman baharu di Stadium Nasional, Bukit Jalil apabila menyaksikan perlawanan Pestabola Merdeka 2023, Jumaat ini.
Ia selepas gelanggang keramat Harimau Malaya itu bukan sahaja menggunakan rumput baharu, malah proses naik taraf turut dilakukan di bahagian lain termasuk tempat solat dan tandas.
Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac berharap dengan naik taraf yang dilakukan di Stadium Nasional dapat memberikan lebih keselesaan kepada peminat yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak.
Beliau berkata, pasukan Harimau Malaya juga akan menjadi pasukan pertama merasmikan padang baharu dengan skuad kendalian Kim Pan Gon bakal berdepan India, Jumaat ini bagi aksi pertama Pestabola Merdeka 2023.
Katanya, majlis perasmian padang baharu itu akan disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Khamis ini.
“Saya tak boleh maklum banyak sangat sebab pelancarannya pada Khamis ini yang mana pelancaran akan dilakukan TMJ kerana ini adalah inisiatif beliau.
“Bagi saya kita harus tunggu untuk pelancaran itu sebab tanggungjawab PSM adalah mengenai persiapan.
sumber:- BH
“Kami teruja untuk pasukan Malaysia berdepan India, Jumaat ini. Tetapi pasukan Harimau Malaya akan diberikan satu sesi lebih awal untuk mencuba padang baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem ‘Harimau Malaya: The Untold Journey’ arahan Datuk Afdlin Shauki hari ini.