Apa sudah jadi pada sistem pembayaran gaji pemain profesional di Liga Malaysia (Liga M)? Adakah budaya baru bakal berlaku di mana pembayaran gaji yang lewat sebulan, dua bulan dan tiga bulan dianggap perkara biasa atau satu keterpaksaan yang perlu ditelan pemain di Liga M?
Itu persoalan timbul selepas terdapat beberapa kes membabitkan segelintir pasukan yang sering melepasi tarikh akhir pembayaran gaji pada setiap 7 haribulan kepada pemain masing-masing.
Mungkin pada pengurusan, pemain perlu menghormati kontrak dan wajib turun berlatih serta beraksi dalam setiap perlawanan, tetapi adakah pemilik kelab sedar pemain yang mengerah keringat itu juga manusia biasa yang memerlukan sokongan hidup seperti wang untuk menampung perbelanjaan harian.
Tambah pelik, apabila media menggunakan perkataan tunggakan sebagai usaha untuk mengetengahkan isu itu, sebaliknya kelab mengakui hanya berlaku kelewatan yang sebenarnya mempunyai maksud sama dalam konteks tunggakan gaji.
Berdasarkan tinjauan Arena Metro, difahamkan terdapat sekurang-kurangnya empat pasukan alami kelewatan gaji antara sebulan hingga tiga bulan yang nyata menyukarkan kehidupan pemain.
Misalnya Kelantan FC, kelab yang terang terangan mengalami masalah tunggakan gaji di mana ia dibongkarkan sendiri oleh bekas pemain dan pegawai pasukan itu.
Terbaharu menerusi laporan akhbar ini Selasa lalu, pasukan Negeri Sembilan FC turut mengalami kelewatan gaji selama dua bulan dari Ogos dan September, hingga ada pemain dikejar pihak bank bagi menuntut pembayaran bulanan rumah dan kereta.
Selain itu, kedengaran juga satu pasukan dari Utara tanahair turut berdepan krisis sama apabila berlakunya tunggakan gaji selama dua bulan, namun dikhabarkan ia sudah diselesaikan tetapi tidak diketahui adakah setiap pemain dibayar penuh atau hanya separuh bulan.
Satu lagi kelab berpangkalan di Lembah Klang turut mengalami isu kelewatan gaji sejak musim lalu, namun ‘tabik spring’ diberikan kepada barisan pemain yang tetap menampilkan aksi bertenaga biarpun sebenarnya kerap dibayar lewat sehingga mencecah dua hingga ke tiga bulan.
Malah semalam, viral pula pendedahan pemain bawah 23 tahun Kelantan FC di laman sosial yang mendakwa tidak dibayar gaji, dengan ketika ini hanya mempunyai RM2.80 sen dalam simpanan.
Begitupun posting itu kemudiannya dibuang kerana dijanjikan oleh pihak pengurusan untuk menyelesaikan segera isu itu.
Difahamkan, isu kelewatan gaji sebenarnya agak kronik di liga simpanan seperti Piala MFL dan Liga M3, namun rata-rata pemain enggan membuat aduan rasmi kerana terikat dengan kontrak yang melarang perkara itu didedahkan, atau ada pemilik yang berjanji akan menyelesaikan tunggakan dalam masa terdekat.
Apapun secara normalnya, sebagai seorang pemain bola sepak yang makan gaji, mereka juga perlu menjalani kehidupan seperti insan lain dalam dunia serba mencabar ini.
Dengan kos sara hidup yang tinggi, ditambah keperluan persekolahan anak-anak, tidak sepatutnya naratif kelewatan gaji dianggap biasa oleh pemain industri bola sepak tempatan.
sumber:- HM
Jika ia dibiarkan begitu sahaja, dikhuatiri ekosistem bola sepak negara akan diganggu anasir luar, umpama kehadiran bookie yang boleh meruntuhkan rantaian industri bola sepak tempatan.