sukan

Secara tidak rasmi Malaysia sudah capai sasaran keseluruhan

KONTINJEN Malaysia secara tidak rasmi sudah mencapai sasaran 27 pingat yang ditetapkan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di sini, hari ini.

Ia selepas atlet karate Lovelly Anne Robberth berjaya melayakkan diri ke final acara kata individu wanita di Gimnasium Pusat Sukan Linping sekali gus akan mencabar kilauan emas menentang pemenang emas dua edisi berturut-turut pada 2014 dan 2018 Kiyou Shimizu dari Jepun.

Lovelly Anne mara ke final selepas mendominasi saingan pusingan kedua Kumpulan Satu dengan mengumpul keseluruhan 40.40 mata sekali gus mengatasi pencabar terdekat atlet Taiwan Chien Hui Hsuan (39.10) yang terpaksa berpuas hati perlu bermain dalam aksi penentuan gangsa.

Sementara Shimizu melangkah ke final untuk mempertahankan emas buat kali ketiga berturut-turut selepas mengumpul keseluruhan 43.30 mata dalam pusingan kedua Kumpulan Dua.

Ketika ini, kontinjen Malaysia sudah mengumpul keseluruhan 23 pingat yang disumbangkan menerusi sukan pelayaran, ekuestrian, skuasy, wushu, terjun, olahraga, berbasikal trek, e-sukan, sepak takraw dan gimnastik artistik.

sumber:- SH

Pada hari ke-12 temasya hari ini, tiga lagi pingat sudah berada dalam genggaman kontinjen negara menerusi sukan skuasy selepas Malaysia mara ke final perseorangan lelaki dan wanita serta beregu campuran yang akan berlangsung petang ini. – Bernama