sukan

Penantian 10 Tahun berakhir

Penjaga gol nombor satu Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin bersyukur selepas penantiannya hampir 10 tahun untuk menyarung jersi skuad kebangsaan bakal tercapai selepas tersenarai dalam kem Harimau Malaya.

Jelas pemain berusia 29 tahun itu yang memulakan kariernya bersama kelab Hanelang FC pada 2014, panggilan jurulatih negara, Kim Pan-gon bagaikan mimpi buatnya terutama negara mempunyai ramai penjaga gol terbaik.

Bagaimanapun katanya, dia tekad memperagakan aksi terbaik selain mahu membalas kepercayaan diberikan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu lebih-lebih lagi selepas sekian lama menunggu.

“Syukur Alhamdulillah selepas dipilih menyertai kem skuad kebangsaan sesudah sekian lama menunggu panggilan yang begitu bermakna ini.

“Sejujurnya berita ini (panggilan menyarung jersi kebangsaan) memang tidak dijangkakan kerana ini kali pertama saya dipilih, jadi dengan pemilihan ini, saya begitu berterima kasih kepada pihak pengurusan, kejurulatihan dan pemain yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Bekas penjaga gol skuad ‘adik’ Terengganu FC II (TFC II) sebelum ‘dinaikkan pangkat’ ke skuad utama pada 2021 kini bersama skuad TFC dalam tugasan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) menentang kelab Indonesia, Bali United di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar, Bali, pada malam ini.

“Sememangnya panggilan ini juga menambah lagi semangat saya membantu pasukan dalam baki saingan Liga Super, Piala AFC dan separuh akhir Piala Malaysia.

“Fokus saya juga dalam Pestabola Merdeka yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dari 13 sehingga 17 Oktober ini, saya harap dapat bersaing secara sihat bersama rakan seposisi,” katanya.

Terdahulu penjaga gol kelahiran Besut itu menjadi satu-satunya pemain yang pertama kali dipanggil berbanding pemain lain yang pernah dipanggil ke kem kebangsaan sebelum ini berikutan prestasi cemerlang ditampilkan penjaga gol itu.

Pengendali dari Korea Selatan itu mengekalkan 21 daripada 25 pemain yang pernah dipanggil ke kem latihan pusat terdahulu bagi Perlawanan Antrabangsa Tier 1 sebelum ini.

sumber:- HM

Kejohanan Pestabola Merdeka itu membabitkan tiga pasukan di ranking lebih baik iaitu India (102), Palestin (97) dan Tajikistan (110).